medical officer MO on-call
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengesahkan seorang lelaki warga Malaysia yang menetap di Singapura dijangkiti cacar monyet.

Katanya, lelaki berkenaan dijangkiti cacar monyet pada 6 Julai selepas disahkan oleh Kementerian Kesihatan negara berkenaan.

Beliau berkata, seramai 15 kontak rapat terhadap kes positif berkenaan telah dikenal pasti.

“Seramai 14 orang kontak kasual dan berisiko rendah mendapat jangkitan kerana tidak bergejala. Seorang dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan Singapura dalam kuarantin (belum positif cacar monyet),” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19.

Khairy berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Singapura sehingga kini masih menyiasat punca jangkitan.

Semalam Singapura mengesahkan kes pertama jangkitan tempatan cacar monyet.

Kementerian Kesihatan Singapura dalam satu kenyataan berkata, pesakit merupakan lelaki rakyat Malaysia berusia 45 tahun yang bermastautin di Singapura.

Bagaimanapun, pesakit tersebut kini dalam keadaan stabil dan kini menerima rawatan di wad Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID). – MalaysiaGazette