Sebuah bot nelayan tempatan (BNT) kelas C lebih kurang 3.5 batu nautika dari muara Sungai Kuantan.

KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hari ini menahan sebuah bot nelayan tempatan (BNT) kelas C kira-kira 3.5 batu nautika dari muara Sungai Kuantan kerana tidak mempunyai permit kerja yang sah.

Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, bot tersebut ditahan oleh bot pemintas yang sedang dalam rondaan Op Makmur pada jam 1.33 tengahari.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas bot tersebut mendapati tiga kru warga Kemboja dan tekong warga tempatan berumur antara 29 sehingga 40 tahun.

“Kesemua kru mempunyai permit kerja yang telah tamat tempoh dan disyaki memiliki pasport palsu.

“Bot dan kesemua kru bersama peralatan menangkap ikan termasuk hasil laut anggaran berat 2.65 tan dibawa masuk ke Jeti Penerpa, Kuantan untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki telah melanggar syarat sah lesen dan menggunakan pas kerja yang telah tamat tempoh.

Menurut Kamal Ariffin, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999. – MalaysiaGazette