Noor Hariri Mohamed Noor

PASIR MAS – Pemuda Bahagian Pasir Mas dengan kerjasama Kelab ABE mewakafkan 10 meja dan 40 kerusi untuk kegunaan dan keselesaan orang ramai yang mengunjungi Uptown Kota Iskandariah.

Ketuanya, Noor Hariri Mohamad Noor berkata, dengan kemudahan yang disediakan di tapak uptown itu, akan menambah ceriakan lagi suasana malam di jajahan itu, yang sebelum ini dikatakan sebagai ‘bandar mati’.

Dalam pada itu, beliau benar-benar mengharapkan pihak pengurusan dan pentadbiran Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) lebih inovatif dalam memastikan bandar itu ‘hidup’ bagi menarik kunjungan pelancong.

“Kita dengan kerjasama Kelab ABE telah menyantuni peniaga di Iskandariah Uptown dan sepakat mewakafkan kemudahan meja serta kerusi untuk kegunaan pengunjung yang datang membeli barangan di Uptown Kota Iskandariah ini.

“Kita juga berharap pihak berkuasa tempatan seperti MDPM dapat melihat alternatif lain bagi menceriakan kawasan ini sebagai tarikan utama kepada pelancong.

“Kawasan jualan ini kalau dihiasi dengan limpahan cahaya lampu dan memasukkan pelbagai acara berbentuk bunyi-bunyian, lagi menambahkan ceria bandar ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Noor Hariri (enam dari kiri) bersama Kelab ABE menyantuni peniaga dan penjaja Uptown Kota Iskandariah di Pasir Mas

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan turut mencadangkan MDPM memberi kebenaran kepada Buskers daripada kalangan anak muda berbakat, kumpulan dikir barat dan kebudayaan mengadakan persembahan.

Ini katanya, adalah kehendak anak muda di Pasir Mas yang dianggap antara aktiviti yang dapat menarik lebih ramai pengunjung datang beriadah sambil membeli belah.

Menurut Noor Hariri, MDPM perlu lebih bersikap diplomasi dan mesra peniaga dengan memberi pelbagai tawaran kemudahan sama ada kepada peniaga mahupun pengunjung.

“Selain mengenakan sewaan tapak jualan kepada peniaga dan penjaja, sekurang-kurangnya MDPM perlu menyediakan lebih banyak aktiviti yang dapat menarik pengunjung, sekali gus menambah pendapatan golongan ini.

“Sudah tentu Uptown Kota Iskandariah akan meriah apabila ramai anak muda datang untuk menyaksikan pelbagai persembahan menarik dan secara tidak langsung merancakkan ekonomi setempat.

“Dengan ini, bandar Pasir Mas tidak lagi ‘mati’ dan sepi terutama menjelang petang hingga tengah malam,” ujar beliau.

Beliau juga bersetuju sekiranya MDPM membuat kawalan terhadap persembahan itu seperti memberi kebenaran kepada penyanyi lelaki sahaja, berhenti sebelum azan dan dihadkan bunyi-bunyian sehingga tempoh 12 tengah malam.

Katanya, situasi menang-menang perlu ada dalam hal itu.

“Peniaga dan penjaja kecil di daerah ini baru sahaja hendak memulakan hidup selepas era pandemik Covid-19 bertukar ke endemik.

“Sudah tentu keperitan mereka dalam tempoh lebih dua tahun hilang punca pendapatan amat terasa, lebih lagi berdepan dengan kekurangan pengunjung datang membeli di uptown itu,” katanya. – MalaysiaGazette