Dalam rakaman kamera litar tertutup yang tular memaparkan kedua-dua suspek dilihat memakai topi keledar memecah masuk rumah mangsa. \

KUANTAN – Seorang lelaki warga emas cedera di bahagian leher akibat dilibas dengan parang semasa bergelut dengan dua individu yang menyamun isterinya dengan memecah masuk rumah beliau di Taman Hijau, Karak.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan dibuat mangsa yang berusia 72 tahun itu pada pukul 7.50 pagi semalam.

Menurut Zaiham, mangsa memberitahu ketika kejadian, isteri dan cucunya berada di dalam rumah ketika suspek yang merupakan dua lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 20 dan 30an dan bersenjatakan parang telah masuk ke rumah.

Mangsa kemudian dilibas dengan parang oleh salah seorang suspek ketika bergelut di luar kawasan rumahnya, manakala cucu lelaki mangsa berusia 18 tahun mengalami bengkak di bahagian kepala kerana dihentak menggunakan bahagian belakang parang, ujarnya.

Ekoran itu, mangsa dilaporkan telah menerima 10 jahitan akibat kecederaan berkenaan.

“Suspek berjaya melarikan barang kemas berupa rantai dan cincin milik isteri mangsa yang berusia 69 tahun,” katanya.

Zaiham berkata, pihaknya kini sedang giat mengesan kedua-dua suspek terbabit.

Dalam rakaman kamera litar tertutup yang tular memaparkan kedua-dua suspek dilihat memakai topi keledar dan menaiki motosikal jenis Honda EX5.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/396 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan, katanya. – MalaysiaGazette