PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Seorang tukang gunting rambut nekad menculik bekas kekasih yang merupakan isteri orang dan anak wanita tersebut di hadapan sebuah tadika di Seksyen U12, di sini, semalam ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada suami mangsa yang berusia 41 tahunpada jam  6.15 petang selepas dimaklumkan oleh guru tadika tersebut yang melihat insiden tersebut.

“Hasil siasatan polis mendapati mangsa menjelaskan bahawa suspek telah menolaknya ke tempat duduk penumpang dan merampas kenderaan milik mangsa semasa anak mangsa sedang menaiki kenderaan.

“Suspek merupakan bekas teman lelaki kepada mangsa yang berusia 33 tahun itu kemudian memecut laju dengan kenderaan bersama mangsa dan anaknya yang dilarikan itu dan menghilangkan diri.

“Polis mendapati motif kejadian dipercayai kerana mangsa sudah tidak suka pada suspek tetapi lelaki itu masih sayangkan mangsa sehingga bertindak melarikan bekas kekasih itu bersama anaknya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Iqbal menambah, suspek ditahan di hadapan balai polis Shah Alam ketika tampil bersama kedua-dua mangsa untuk diambil keterangan oleh polis sebelum menyerah diri.

“Dia tampil sendiri membawa bersama kedua-dua mangsa dan menyerah diri kepada polis selepas pasukan kami melakukan beberapa siri serbuan dan pemeriksaan di rumah suspek serta kediaman ibunya,” kata beliau.

Menurut Mohd Iqbal, pemeriksaan polis ke atas kedua-dua mangsa mendapati ibu dan anak tidak mengalami kecederaan.

Tambah beliau, hasil saringan air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah.

Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan dan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang, ujarnya. – MalaysiaGazette