KUALA LUMPUR – Kenyataan media syarat-syarat sokongan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada Perdana Menteri semasa pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menyebut tentang jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).
Yang disebut hanyalah untuk memastikan Jemaah Menteri yang bakal dilantik terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah, dakwa Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat, Muhamad Iqbal Jamal Jamaluddin.
”Tidak ada sebarang pengumuman bahawa jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah tuntutan Perikatan Nasional,” katanya yang mengulas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang membidas kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan bahawa tiada sebarang perjanjian antara Perdana Menteri dan Perikatan Nasional bagi jawatan TPM.
Soal beliau, ketika rakyat sedang mengalami kenaikan inflasi, apakah kepentingan melantik TPM atau jawatan-jawatan lain dalam kerajaan yang dituntut oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin?
Sepatutnya Bersatu menumpukan usaha kepada penyelesaian dan membantu Perdana Menteri.
”’Datuk Wan Saiful semenjak dilantik jadi Pengerusi PTPTN pun tak dapat nak tunaikan janji Pakatan Harapan (yang dulu Datuk sebahagian daripadanya),” bidasnya.
Mengulas kenyataan Wan Saiful yang menyifatkan Shahril sebagai ‘ejen’ Presiden UMNO, Muhamad Iqbal menempelak sambil berkata, Shahril dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia, beliau memang ‘ejen’ UMNO.
Tetapi, berbeza dengan Wan Saiful yang macam kartun serupa Ejen Ali.
Semalam, Wan Saiful mendakwa masih ada perkara yang Ismail Sabri belum cukup percaya untuk berkongsi maklumat dengan Shahril berhubung perjanjian yang ditandatangani oleh PM dengan Perikatan Nasional (PN), sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri.
Dakwa Wan Saiful mungkin kejujuran Shahril Hamdan masih dipersoalkan ekoran pernah dituduh sebagai ‘spy’ Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di pejabat PM.
Wan Saiful mendedahkan Tan Sri Annuar Musa enjadi saksi kepada ‘coalition agreement’ di sebelah Perdana Menteri. – – MalaysiaGazette