BULAN Zulhijjah merupakan salah satu bulan yang istimewa dalam kalendar umat Islam.
Pastinya kerana bulan ini menuntut seribu satu jenis pengorbanan sejak daripada Nabi Ibrahim diperintahkan menyembelih anakanda kesayangan baginda Nabi Ismail.
Umum mengetahui bahawa Nabi Ismail merupakan salah seorang anak hasil daripada perkahwinan Nabi Ibrahim dengan Siti Hajar.
Sejak kecil mereka sekeluarga telah ditimpa pelbagai dugaan yang lebih berat daripada yang sebelumnya.
Nabi Ibrahim sendiri diuji dengan berdakwah kepada bapanya sendiri yang merupakan tukang ukir patung berhala yang disembah oleh kaumnya.
Satu demi satu ujian melanda sehingga kemuncaknya di mana Raja Namrud telah memerintahkan agar Nabi Ibrahim dijatuhkan hukuman dengan dibakar hidup-hidup di dalam api yang marak menyala.
Pembakaran ini dilakukan di hadapan khalayak ramai dan persiapan bagi upacara tersebut turut disaksikan oleh seluruh rakyat.
Peristiwa ini diabadikan di dalam al-Quran dan merupakan salah satu daripada peristiwa penting yang menjadi teladan kehidupan manusia sepanjang zaman, sesuai dengan mukjizat al-Quran itu sendiri.
Api besar yang marak menyala pasti mampu menghanguskan sebarang makhluk hatta burung yang terbang di atasnya dek menjulang tinggi maraknya.
Tatkala dimasukkan ke dalam api, Nabi Ibrahim AS lantas berdoa memohon perlindungan daripada Allah SWT daripada api yang menjulang itu.
Allah SWT berfirman, “Wahai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim.” (al-Anbiya’: 69)
Pengorbanan Nabi Ibrahim ini disambung setelah mengahwini Siti Hajar, yang mana setelah lahir seorang anak lelaki yang dinamakan Ismail, baginda diperintahkan untuk membawa Siti Hajar ke suatu tempat.
Pengorbanan Nabi Ibrahim meninggalkan keluarga kesayangannya di suatu tempat yang tandus tiada berpenghuni, kesabaran dan ketaatan Siti Hajar dalam menurut perintah Allah SWT tiada berbelah bahagi, bersama sedikit bekalan makanan dan minuman.
Setelah beberapa ketika, bekalan sudah habis. Siti Hajar atas dasar kasih kepada anak kesayangannya berlari-lari anak dari bukit Safa ke bukit Marwah sebanyak tujuh kali ulang alik bagi mencari setitis air buat penghilang dahaga.
Inilah yang dilakukan oleh jemaah haji dan umrah dalam ibadat sai’e.
Ketabahan Siti Hajar dan cintanya kepada anaknya disertai dengan penyerahan mutlak kepada Allah SWT menjadi ibrah kepada suatu aktiviti ibadah melibatkan berjalan berulang-alik.
Tanpa kesedaran dan keinsafan tentang kisah di sebalik sesuatu ibadah yang dilakukan, amat sukar untuk kita memahami dan mendalami erti sesuatu pengorbanan.
Setelah Nabi Ismail meningkat lebih dewasa, sekali lagi keyakinan mereka diuji.
Nabi Ibrahim telah diperintahkan untuk mengorbankan anak kesayangannya itu.
Dalam situasi tersebut, Nabi Ibrahim telah berbincang dengan anaknya dan meminta pendapat.
Ini menunjukkan bahawa Nabi Ibrahim turut mengambil kira pendapat dan pandangan daripada anakandanya berkaitan perkara yang memberi kesan yang besar dalam hidup mereka.
Ini juga memberi panduan kepada kita dalam pengurusan rumah
tangga dan mendidik anak-anak.
Bulan Zulhijjah juga merupakan bulan di mana ibadat haji yang merupakan salah satu daripada rukun Islam wajib ditunaikan oleh umat Islam.
Ibadat ini memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit bagi melaksanakannya.
Pelbagai persiapan perlu dilakukan sebelum, semasa dan selepas ibadat haji dilakukan supaya ibadat kita diterima sebagai haji yang mabrur.
Apa yang penting juga adalah istiqamah dalam membuat kebaikan dan sentiasa berusaha menjadi hamba Allah SWT
yang lebih baik.
Allah SWT tidak memerlukan kepada korban malah apa yang mahu diterapkan adalah roh kepada korban itu sendiri.
Usaha untuk menyediakan yang terbaik, tidak kira sama ada untuk menunaikan haji mahupun menyembelih korban, setiap daripada apa yang kita lakukan haruslah daripada sumber yang halal dan bersih.
Dalam ibadah korban juga, haiwan ternakan yang dikorbankan perlulah memenuhi beberapa ciri seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud, “Empat perkara yang tidak boleh ada pada haiwan korban ialah yang jelas buta matanya, yang ketara sakitnya, yang ketara tempang kakinya dan yang kurus kering tiada sum-sumnya.” (Riwayat Abu Daud, 2802)
Ini mendidik kita untuk sentiasa menjadi hamba Allah yang terbaik dalam segenap perkara dan sentiasa memperbaiki diri kita dari sehari ke sehari.
Kesilapan masa lalu tidak harus dijadikan penghalang untuk kita bertaubat dan berubah kepada yang lebih baik.
Seseorang yang melakukan korban disunatkan untuk melihat haiwan korbannya disembelih bagi menyaksikan titisan darah haiwan yang disembelih tersebut jatuh ke bumi.
Haiwan yang disembelih juga akan datang pada hari akhirat nanti dalam keredhaan Allah SWT.
Sayidatina Aisyah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda, “Tiada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari an-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban).
Sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).”
(Riwayat al-Tirmizi, 1493)
Ayuh, sama-samalah kita berniat dan berazam untuk melaksanakan ibadah haji sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup dengan memastikan kita membuat simpanan yang mencukupi, mendaftar dengan Tabung Haji, menyediakan persiapan dari segi mental, fizikal dan ilmu serta pelbagai lagi persiapan yang lain yang diperlukan.
Selain daripada itu, kita juga harus berazam untuk melaksanakan ibadah korban sekurang-kurangnya satu bahagian setiap tahun sebagai tanda ketaatan dan kesyukuran ke atas nikmat yang diberi Allah SWT.
Salam Aidiladha, pengorbanan yang ikhlas pasti mendapat sebaik-baik ganjaran daripada Allah SWT semata. – MalaysiaGazette
Dr Jannatul Madihah Abu Bakar
Setiausaha, WARAK PAPISMA
Prof Madya Dr Aspalilah Alias
Pensyarah Anatomi dan Pergigian, USIM