KUALA LUMPUR – Aspek pengalaman menjadi rencah utama di sebalik kehadiran beberapa tonggak baharu pada pintu perpindahan kedua pemain buat PDRM FC.
Ketua jurulatih, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata, perkara itu telah menjadi sebahagian daripada kekurangan pasukan sepanjang pusingan pertama Liga Premier.
Selain itu, beliau sedikit lega dua pemain import baharu, Milos Lacny dan Fadi Awat berjaya memenuhi jangkaan dengan mempamerkan kualiti lebih baik berbanding import terdahulu.
“Salah satu kelemahan yang dikenal pasti sepanjang pusingan pertama adalah aspek pengalaman pemain kerana tiap kali perlawanan persahabatan, kami boleh dapatkan keputusan yang baik tetapi berbeza semasa aksi di Liga Premier.
“Mungkin terdapat faktor tekanan pada perlawanan sebenar yang menyebabkan pemain-pemain muda ini gagal bermain dengan baik.
“Justeru, kami membawa masuk dua pemain tempatan berpengalaman, Azmi Muslim dan Khairul Izuan yang diharap mampu membimbing bakat-bakat muda ini.
“Selain itu, aksi berdepan Perak FC tempoh hari merupakan kali pertama saya dapat menggunakan keempat-empat pemain import dalam satu perlawanan.
” Lacny dan Awat juga pemain berpengalaman malah jelas mereka sangat membantu pemain-pemain lain, saya yakin PDRM boleh berada di tahap lebih baik bagi harungi baki saingan Liga Premier,” katanya.
Berusia 35 tahun, Azmi dipinjamkan dari Penang FC merupakan antara pertahanan kiri berpengalaman manakala Khairul Izuan pernah bermain untuk Kelantan, Negeri Sembilan dan Terengganu.
Selain itu, PDRM turut membawa masuk Zazrir Naim dari Sri Pahang FC dan bekas pemain Kelantan FC, Ismail Ibrahim.
Lacny berasal dari Republik Czech, penyerang berusia 34 tahun dan memilikiu pengalaman bermain di kelab-kelab ternama Eropah seperti Sparta Prague dan Zilina.
Manakala Awad selaku pemain tengah, pernah bermain untuk skuad kebangsaan Jordan selain pengalaman beraksi di Liga Jordan dan Kuwait.
Dalam pada itu, Wan Rohaimi mengharapkan PDRM mampu meraih seberapa mata maksimum bagi terus meraih kedudukan yang lebih baik di Liga Premier.
“Kemenangan 2-0 tempoh hari berdepan Perak diharapkan akan menjadi pembakar semangat kepada kami untuk terus konsisten meraih keputusan cemerlang.
“Kami terlalu banyak keciciran mata di pusingan pertama dan perkara itu beri kesan kepada kedudukan di liga.
“Berdepan Kelantan United di laman lawan pada 16 Julai depan,saya harap pemain-pemain dapat meraih sesuatu dan tidak gentar dengan kekuatan lawan,” katanya. – MalaysiaGazette