Aksi lembu yang dibawa keluar dari lori bagi persediaan ibadah korban sempena Aidiladha yang akan disambut esok ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di perkarangan Masjid Khalid Al Walid, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menyembelih 26 ekor lembu di Masjid Khalid Al Walid di Kementerian Pertahanan di sini sempena perayaan Aidiladha esok.

Pegawai Waran 1, Mohd Saifullah Che Omar berkata, ibadah korban tahun ini mendapat sambutan menggalakkan apabila menerima seramai 183 orang penyertaan.

“Tahun ini ada 183 orang peserta iaitu lebih ramai dari sebelum ini sebab kita sekarang ini fasa peralihan ke endemik. Sebelum ini kita sembelih 15 ekor lembu sahaja, jadi ada pertambahan kali ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, proses penyembelihan akan bermula selepas Majlis Perasmian Korban dan Akikah bagi tahun 2022M/1443H yang melibatkan warga ATM dan peserta ibadah korban esok.

Jelas Saifullah yang merupakan Imam Masjid MKWK, ibadah korban itu turut disertai orang awam dengan bayaran RM780 bagi setiap bahagian untuk seekor lembu.

Aksi lembu yang dibawa keluar dari lori bagi persediaan ibadah korban sempena Aidiladha yang akan disambut esok ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Khalid Al Walid, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 JULAI 2022.

Mengulas lanjut, Saifullah memaklumkan harga bagi seekor lembu bagi ibadah korban tahun ini adalah sekitar RM6,000 hingga RM7,000 mengikut saiz.

Malah ibadah korban yang diadakan esok secara serentak bagi kesemua haiwan itu turut melibatkan empat ekor kambing.

Ujarnya, ibadah berkenaan membolehkan pihak yang berkemampuan dapat berkongsi rezeki dengan golongan yang kurang bernasib baik.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast