Bekalan air bersih diagih menggunakan lori tangki di 18 lokasi yang masih mengalami gangguan bekalan air di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – 18 lokasi di sekitar negeri ini masih mengalami gangguan bekalan air susulan penutupan sementara loji rawatan air (LRA) Sungai Dua pada Rabu lalu akibat banjir di Baling, Kedah.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam satu kenyataan berkata, 12 lokasi membabitkan bahagian Pulau manakala enam lagi di Seberang Perai Selata masih mengalami gangguan air setakat ini.

Antara lokasi yang masih terjejas adalah Relau; Sungai Ara; Lengkok Kelicap; Kampung Matahari Naik; Puspakom; Pulau Betong; Pondok Upeh; Batu Hitam; Balik Pulau; Sunway Cassia; Permatang Damar Laut dan Batu Uban.

Turut terjejas, Taman Seruling Emas; Sungai Baung, Sungai Duri; Taman Widuri; Kompleks Penjara serta Hospital Sungai Bakap.

“Bagi mengurangkan kesulitan pengguna-pengguna yang terjejas, bekalan air bersih diagihkan menggunakan lori-lori tangki PBAPP, Pertubuhan BOMBA Sukarela (PBS) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

“Selain itu, PBAPP turut mengagihkan bantuan air minum melalui Pejabat Ali Dewan Undangan Negeri di kawasan yang terjejas di Daerah Barat Daya dan Seberang Perai Selatan.

“Bagaimanapun, keutamaan diberikan kepada hospital, pusat dialisis dan kecemasan lain seperti urusan jenazah sementara menunggu penyambungan bekalan air,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjangka bekalan air untuk kira-kira 20 peratus pengguna di kawasan Gelugor dan Teluk Kumbar di sini akan diperoleh selewat-lewatnya pagi semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PBAPP, Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, kawasan yang masih belum mendapat bekalan air itu terletak di kawasan yang tinggi dan memerlukan sedikit masa untuk penyaluran air seperti sediakala.

Operasi LRA di Sungai Dua di sini terpaksa dihenti tugas selama empat jam pada Rabu lalu susulan kadar kekeruhan air mentah yang tinggi di Sungai Muda susulan banjir di Baling, Kedah. – MalaysiaGazette