MINA – Kesemua 14,306 jemaah haji Malaysia termasuk 26 pesakit berjaya dibawa ke Arafah untuk berwukuf pada 8 Zulhijjah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.
Beliau berkata, sebanyak empat bas khas yang diubah suai disediakan untuk jemaah yang sakit dan uzur dari Pusat Kesihatan TH Syisyah, Makkah bersama 68 petugas perubatan dan dibantu 22 petugas Tabung Haji.
“Ia bertujuan membawa mereka yang sakit untuk berwukuf di Arafah dengan meneruskan proses perawatan pesakit di dalam ambulans dan bas yang disediakan,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat perubatan itu.
Idris berkata, setakat 9 Julai, terdapat 32 pesakit dirawat di Pusat Kesihatan TH Syisyah manakala seorang dirawat di hospital Arab di Mina.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa selepas wukuf dan bermabit di Muzdalifah pada 8 dan 9 Zulhijjah, semua jemaah haji Malaysia kini berada di Mina untuk melaksanakan ibadah melontar bagi hari ke-10 hingga 13 Zulhijjah.
Waktu ibadah melontar bagi jemaah Malaysia ialah pada 8 hingga 10 malam serta selepas subuh.
“Ibadah melontar memberikan cabaran kepada jemaah haji kerana ia melibatkan perjalanan sejauh 10 km dari khemah ke Jamrah dan balik semula ke khemah.
“Saya menyarankan agar setiap jemaah haji memberikan perhatian kepada setiap arahan yang diberikan oleh petugas TH serta mengikut waktu melontar yang ditetapkan demi keselamatan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan agar jemaah haji yang sedang melakukan ibadah melontar selama tiga hari di Mina, untuk mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal terutama aspek kesihatan. – BERNAMA