Anggota bomba memadam kenderaan yang terbakar di depan sebuah bengkel di Shah Alam malam tadi. Foto: Ihsan Bomba Selangor

SUNGAI BULOH – Sebanyak lapan buah kenderaan yang diletakkan di hadapan sebuah bengkel musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Jalan Nova, U5/94A Laman Permai, dekat sini malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, kebakaran itu melibatkan kawasan hutan dan lapan buah kenderaan diparkir di kawasan di hadapan sebuah bengkel berhampiran kawasan hutan yang terbakar itu.

Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan yang memaklumkan mengenai kejadian kebakaran itu pada pukul 8.29 malam.

“Bomba yang tiba pada jam 8.40 malam berjaya mengawal kebakaran itu,” katanya.

Tiada mangsa ataupun kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu. -MalaysiaGazette