Hidang mee goreng untuk menu RMT yang tular di media sosial baru-baru ini.

KUANTAN – Pengusaha kantin yang menyediakan hidangan ‘mee kosong’ kepada sebuah sekolah rendah di negeri ini untuk menu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) telah diberi amaran oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pahang.

Malah pengusaha berkenaan diberi tempoh sebulan dengan pemantauan ketat Jabatan Pendidikan Negeri untuk dalam memastikan setiap hidangan RMT mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

Jika gagal, kontrak pengusaha kantin itu akan ditamatkan, menurut sumber Jabatan Pendidikan Negeri Pahang.

MalaysiaGazette difahamkan pengusaha kantin berkenaan juga telah beberapa kali diberi amaran berhubung isu sama namun kejadian yang sama berulang termasuk kejadian terbaharu yang tular minggu lalu.

“Sehubungan itu, notis amaran telah dikeluarkan dan pemantauan akan dilakukan secara berterusan bagi memastikan perkara tersebut tidak berulang.

“Pihak pengusaha kantin berkenaan perlu menghantar laporan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan diberi masa sebulan bagi memperbaik kualiti perkhidmatan seperti arahan pekeliling,” kata sumber kepada MalaysiaGazette sambil mengesahkan kejadian tersebut memang berlaku di Pahang.

Ditanya sama ada kejadian tersebut disebabkan pengusaha kantin tersebut terlalu selesa dan tempoh kontrak yang lama, sumber berkenaan juga tidak menolak kemungkinan tersebut.

Pada 6 Julai lalu, tular di media sosial gambar memaparkan bekas makanan yang diisikan mee goreng dengan kuantiti yang terlalu sedikit untuk murid yang menerima RMT.

Hantaran tersebut mendakwa menu tersebut buat murid di sebuah sekolah rendah yang terletak berhambiran stesen keretapi di negeri ini.

Rata-rata warga maya mendakwa hidangan mee oleh pengusaha kantin itu tidak setimpal dengan harga RM2.50 bagi setiap murid kerana ia ‘urat’ mee berkenaan boleh dikira.

Bahkan ada yang mempersendakan bekas hidangan itu lebih mahal berbanding nilai mee tersebut. – MalaysiaGazette