Pengarah Urusan Mirakama Sdn. Bhd. Nur Zairahtul Amirah Kamallazim selepas membuat laporan di Balai Polis Saujana Putra Shah Alam semalam.

KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) Selangor didakwa mencuri keseluruhan idea dan kertas cadangan daripada sebuah syarikat perkhidmatan latihan khusus dalam bidang penerbangan.

Pengarah Urusan GLC tersebut didakwa telah mengadakan pertemuan dengan Mirakama Sdn. Bhd. kononnya untuk bekerjasama menjalankan sebuah projek bernilai tinggi.

Bagaimanapun setelah beberapa kali mengadakan perjumpaan dan mendapatkan idea dan perincian pelan serta kertas kerja pengarah urusan GLC itu didakwa berubah sikap.

Pengarah Urusan Mirakama Sdn. Bhd., Nur Zairahtul Amirah Kamallazim mendakwa selepas beberapa pertemuan, beliau rasa dipermainkan pengarah itu kerana segala ideanya sejak beberapa tahun lalu dengan kos yang tinggi telah ‘dicuri’ begitu sahaja.

Dakwa wanita itu, sebelum ini, GLC yang sama  hanya mempunyai beberapa cadangan antaranya membeli tiga buah jet peribadi kononnya untuk disewa namun sejak pertemuan mereka, banyak ideanya telah diambil.

“Antara idea projek saya adalah untuk membantu lebih 10,000 kru penerbangan yang hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)  mendapatkan diploma melalui Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).

“Saya sedih kerana segala usaha untuk membantu ramai kru penerbangan yang hanya ada SPM mendapat sijil diploma ‘dicuri’ orang.

“Lebih menyedihkan, usaha saya  itu diambil untuk kepentingan peribadi bukan membantu kru penerbangan yang perlu dibantu.

“Sebenarnya saya tampil ke depan kerana tidak mahu sesiapa lagi menjadi mangsa, pihak syarikat kami juga sedang berkira-kira untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Pihaknya telah membuat laporan polis mengenainya semalam.

Nur Zairahtul merupakan pembangun Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia.

Pengarah urusan itu juga tidak bersetuju dengan cadangan untuk memberikan hak lesen kepada GLC tersebut walaupun cara itu jelas menguntungkan syarikat berkenaan.

“Sejak dia (pengarah GLC) menolak cadangan saya untuk membantu mendapatkan lesen Pusat Bertauliah (PB) kononnya dengan alasan nanti susah untuk dia memiliki dan mengawal lesen tersebut, saya telah merakam perbualan kami di setiap pertemuan.

“Sehubungan itu, saya menyeru kepada kerajaan negeri  agar mengambil keputusan tepat dengan pengambil individu berkelayakan bagi mengetuai sebuah GLC supaya tidak ada lagi usahawan wanita seperti saya ditipu,” ujarnya.

Dalam pada itu, MalaysiaGazette sempat berhubung dengan Pegawai Khas Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad dan beliau akan meneliti perkara itu dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak.

Pegawai Khas kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad.

“Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) minta siasat dan pihaknya tidak akan sesekali melindungi sesiapa,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, MalaysiaGazette sedang cuba menghubungi pengarah syarikat terbabit namun belum ada sebarang perkembangan. – MalaysiaGazette