Seorang warga emas mati ditembak selepas bermain mahjong di rumah rakannya di Amarin Kiara, ibu negara awal malam tadi.- Gambar ihsan IPD Brickfields.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas yang merupakan bekas ahli perniagaan ditemui mati akibat ditembak selepas pulang bermain mahjong di rumah kawannya di ibu kota malam tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, siasatan awal mendapati mangsa merupakan berusia 63 tahun dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Selesai bermain mahjong, mangsa keluar dari rumah rakannya dan bergerak keluar ke keretanya yang diparkir di luar kawasan perumahan Amarin Kiara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kejadian berlaku malam tadi lebih kurang pukul 12.09 tengah malam dan polis  menerima makluman dari orang awam berhubung kes tembakan di Amarin Kiara, Jalan Desa Kiara 1 di ibu negara.

Katanya, sepasukan polis bertindak atas panggilan itu bergegas ke tempat kejadian dan saksi mengatakan melihat mangsa melintas di hadapannya untuk ke tempat letak kereta.

Menurutnya, tidak berapa lama kemudian, saksi terdengar bunyi tiga das tembakan dari arah tempat letak kereta dan kemudian mendapati mangsa terbaring di sebelah keretanya jenis Toyota Vellfire dalam keadaan berlumuran darah.

Jelasnya, siasatan juga mendapati mangsa tidak tidak bekerja dan menyara hidup dengan wang simpanan hasil semasa menjadi ahli perniagaan sebelum ini.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan polis kini sedang giat mengesan saspek yang terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh orang,” katanya.

Sekiranya orang awam mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian di atas boleh menghubungi talian Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. – MalaysiaGazette