Kon Yeow (tengah) pada Majlis Pecah Tanah Nibong Tebal Arena di Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.

NIBONG TEBAL – “Sistem penyampaian air mempunyai banyak kekangan teknikal selepas loji rawatan air (LRA) Sungai Dua di reboot sekali gus menyebabkan bekalan air lambat sampai kepada pengguna.”

Demikian tegas Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ketika diminta mengulas mengenai beberapa lokasi di negeri ini yang masih mengalami gangguan bekalan selepas LRA Sungai Dua ditutup selama empat jam pada Rabu lalu akibat kesan banjir di Baling, Kedah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pecah Tanah Nibong Tebal Arena di Bukit Panchor di sini hari ini.

Beliau berkata, gangguan bekalan air di bahagian Seberang Perai sudah pulih sepenuhnya manakala bahagian pulau hanya membabitkan tiga blok pangsapuri setakat semalam.

Chow Kon Yeow.

“Kita kena faham, ia ibarat sebuah telefon bimbit yang mengalami masalah kemudian direset, ia akan kembali pulih dalam tempoh kurang seminit namun apabila kita reboot sistem penyampaian air ia berbeza kerana mempunyai kekangan teknikal yang mengambil sedikit masa untuk kembali seperti sedia kala.

“Tangki-tangki simpanan air seperti di Bukit Dumbar semua perlu diisi sebelum disalurkan kepada pengguna dan adakalanya masalah wujud dalam rumah pangsa sendiri apabila sistem pam mereka tidak berfungsi.

“Masalah khusus berlaku di perumahan pangsapuri aladah air sudah pulih namun ia tidak dapat dipam ke tangki manakala bagi kawasan perumahan tanah tinggi air akan sampai di kawasan rendah dahulu sebelum tekanan itu cukup untuk membawa air ke tingkat atas atau kawasan perumahan lereng bukit,” katanya.

Terdahulu, Kon Yeow merasmikan majlis pecah tanah Nibong Tebal arena.

Nibong Tebal Arena merupakan projek pembinaan gelanggang badminton dan dewan serbaguna yang menelan kos RM8.7 juta.

Pembinaan di atas bekas tapak kuarters lama Jabatan Kerja Raya (JKR) seluas 1.808 ekar itu dijangka siap tahun depan sekali gus memberi nilai tambah kepada kemajuan pembangunan di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

Chow Kon Yeow (tengah) pada Majlis Pecah Tanah Nibong Tebal Arena di Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.

 

MalaysiaGazette pada Rabu lalu melaporkan Pulau Pinang mengalami gangguan bekalan air selepas LRA Sungai Dua di sini terpaksa dihenti operasi selama empat jam susulan banjir di Baling, Kedah.

LRA Sungai Dua dihentikan operasi selama empat jam sehingga jam 12 tengah hari tadi susulan bekalan air mentah dari Sungai Muda keruh akibat banjir tersebut.

“Kita terima maklumat berhubung henti tugas loji rawatan air di Kedah yang mana notis itu merujuk kepada kawasan Sungai Petani dan Pinang Tunggal kerana air mentah terlalu keruh atau kadar keruhan air mentah dari Sungai Muda terlalu tinggi akibat daripada kesan banjir di Baling.

“Jadi LRA Sungai Dua turut menghadapi isu yang sama di mana air mentah mempunyai kadar keruhan terlalu tinggi sekali gus menyebabkan operasi rawatan air mentah tercemar dengan selut.

“Susulan itu, kita terpaksa hentikan operasi loji rawatan tersebut yang mengakibatkan penduduk di beberapa kawasan di negeri mengalami gangguan bekalan air,” kata Kon Yeow. – MalaysiaGazette