Logo Petronas.

KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Berhad mengesahkan kedua-dua anak syarikat dalam laporan tersebut telah menerima notis ‘Saisie-arret’ (perintah rampasan)  pada 11 Julai 2022.

”Petronas merujuk kepada laporan media Financial Times bertajuk ‘Petronas subsidiaries seized as lawyers press $15bn claim on Malaysia’.

“Kami mengesahkan bahawa kedua-dua anak syarikat dalam laporan tersebut telah menerima notis ‘Saisie-arret’ pada 11 Julai 2022,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Menurutnya, kedua-dua anak syarikat ini, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l. telah melupuskan kesemua aset di Republik
Azerbaijan dan hasil daripada pelupusan ini telahpun dipulangkan dengan sewajarnya.

”Petronasmenganggap tindakan yang diambil terhadapnya sebagai tidak berasas dan akan terus mempertahankan kedudukannya dari segi undang-undang.

Financial Times melaporkan, waris Kesultanan Sulu yang melakukan tuntutan berjumlah AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada Malaysia telah merampas aset dua anak syarikat Petronas itu yang didaftarkan di Luxembourg.

Laporan itu juga menyebut, peguam pihak yang menuntut telah merampas aset syarikat petroleum itu yang didaftarkan di Luxembourg, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus yang nilainya mencecah lebih AS$2 bilion (RM8.87 bilion).

Peguam yang mewakili waris kesultanan itu dilaporkan berkata, bailif di Luxembourg merampas syarikat berkenaan bagi pihak pelanggan mereka.

Tindakan itu dikatakan merupakan sebahagian daripada tindakan undang-undang dikemukakan waris Sulu pada 2017 untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat British pada 1878.

Dalam pada itu, sebuah portal melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun maklum dengan laporan waris kesultanan Sulu merampas dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan yang dikatakan menuntut RM62.59 bilion daripada kerajaan Malaysia. – MalaysiaGazette