Timbalan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Azman Mat Isa (dua kiri) bersama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Shah Alam, Mohd Dendera Bilah Zamzuri (kanan) melapah lembu bersama penduduk pada Program Ibadah Korban DUN Kota Anggerik di Pangsapuri Seksyen 7, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 12 JULAI 2022.

SHAH ALAM – Sambutan Hari Raya Korban ketika negara dalam fasa peralihan endemik Covid-19 sangat bermakna kepada umat Islam, apatah lagi sudah dua tahun ibadah itu tidak dapat dilakukan kerana kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Azman Mat Isa bercakap kepada media selepas Program Ibadah Korban DUN Kota Anggerik di Pangsapuri Seksyen 7, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 12 JULAI 2022.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Azman Mat Isa berkata, tidak hairan apabilaramai penduduk pangsapuri Seksyen 7 di sini sanggup bercuti semata-mata mahu menjalani ibadah korban anjuran pihaknya, hari ini.

“Alhamdulillah pada hari ini kita berjaya melakukan ibadah korban dengan dua ekor lembu saya sendiri dan saudara Dendera usahakan untuk kali ini.

“Sudah dua tahun kita Covid-19, ini hari ketiga raya korban, Alhamdulillah kerjasama yang diberikan oleh masyarakat pangsapuri Seksyen 7 terutamanya Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sangat baik.

“Ramai yang membantu walaupun hari kerja, ini pengorbanan besar mereka mengambil cuti semata-mata nak mengadakan ibadah korban bersama kami,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Shah Alam, Mohd Dendera Bilah Zamzuri bercakap kepada media selepas Program Ibadah Korban DUN Kota Anggerik di Pangsapuri Seksyen 7, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 12 JULAI 2022.

Terdahulu beliau bersama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri mengorbankan dua ekor lembu untuk ibadah korban sebelum diagihkan kepada kira-kira 270 penduduk di situ.

Sementara itu, Mohd Dendera pula berkata, ibadah korban itu merupakan kesinambungan kepada pelbagai program anjuran pihaknya sebelum ini termasuk bantuan makanan dan sanitasi awam ketika pandemik Covid-19.

“Kalau boleh kita tak nak henti sampai sini sahaja, Insya-Allah sekiranya ada kelapangan, kita akan teruskan program sebegini bersama masyarakat terutamanya untuk membantu golongan B40 di kawasan Seksyen 7 ini.

“Kita faham keadaan hari ini kegusaran rakyat dengan kenaikan harga barang dan ini menjadi faktor untuk kita mendekati golongan B40.

“Malah kita ambil semangat ukhwah untuk berkorban dengan berkongsi rezeki dengan masyarakat setempat, lebih-lebih lagi lebih 9,000 pengundi yang ada di sini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette