SYED SALEH SYED ABDUL RAHMAN TH tabung haji hajj extreme hot weather
Syed Saleh Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Mana-mana syarikat pelancongan boleh memohon untuk menjadi Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang berlesen di bawah Lembaga Tabung Haji (TH) dan syarikat tersebut akan dipilih secara tahunan dengan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Lantaran itu, TH menolak dakwaan wujud ‘kartel’ dan menyifatkan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya tidak berasas sama sekali.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, TH telah mengeluarkan lesen PJH kepada 22 buah syarikat pelancongan tempatan pada 22 Febuari tahun ini, yang mana syarikat-syarikat tersebut telah melalui proses saringan dan pemilihan yang teliti untuk beroperasi sebagai PJH berlesen bagi Musim Haji 1443H/2022M.

Bagi memohon lesen PJH, syarikat pelancongan tempatan dikehendaki memenuhi beberapa syarat termasuk berpengalaman mengendalikan umrah tiga tahun berturut-turut, memiliki rekod Bank Negara Malaysia melalui Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) yang mengandungi maklumat seperti kewangan pengarah syarikat, pemegang saham syarikat dan mana-mana individu dalam pengurusan syarikat.

Selain itu, syarikat berkenaan mempunyai pengurusan dan kakitangan berpengalaman, laporan juruaudit yang bersih untuk dua tahun terkini, laporan kewangan syarikat yang telah diaudit untuk tiga tahun terakhir, modal berbayar sekurang-kurangnya RM500,000, dana pemegang saham yang positif, carian rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia yang menyatakan syarikat dan individu bukanlah bankrap, lulus penilaian umrah oleh Pejabat TH di Arab Saudi dan tiada kes mahkamah semasa.

”Sistem ini telah digunapakai sejak tahun 2000 dan ditambah baik secara berkala. Kali terakhir sistem ini diperkemaskan adalah pada tahun ini.

”Syarat-syarat pemilihan PJH yang ditetapkan adalah bagi memastikan syarikat-syarikat pelancongan tempatan memiliki kapasiti yang teguh serta mampu memberikan perkhidmatan Haji yang terbaik termasuklah mampu menjaga rapi kebajikan jemaah Haji Malaysia,” katanya yang juga Ketua Rombongan Haji Malaysia.

Artikel berkaitan:Tipu jemaah haji: Sudah masanya kartel TH dirombak

Beliau mengulas mengenai dakwaan beberapa pihak yang mendakwa wujud ‘kartel TH’ dalam pemilihan PJH kerana syarikat sama dipilih untuk menguruskan jemaah haji.

Isu ini dibangkitkan susulan kes 380 jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur akibat dipercayai tertipu dengan pakej haji.

Syed Saleh berkata, pada tahun ini TH telah memilih dua PJH baharu iaitu Az Zuha Group Travel & Tours Sdn. Bhd dan Mimm Travel & Tours Sdn Bhd bagi menguruskan pemergian haji ke tanah suci.

Jelasnya, permohonan lesen PJH dibuka setiap tahun dan ditutup pada 1 Ramadan manakala permohonan baharu untuk musim 1444H/2023M telah ditutup pada 1 Ramadan 1443H/ 2 April 2022.

Permohonan untuk musim 1445H/2024 pula akan ditutup pada 1 Ramadan 1444H.

”Oleh itu, dakwaan ‘kartel’ adalah sama sekali tidak benar dan tidak berasas. Mana-mana syarikat boleh memohon untuk menjadi PJH berlesen di bawah TH dan dipilih apabila memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan,” jelasnya.

TH menyarankan orang ramai terutamanya bakal-bakal haji untuk menggunakan perkhidmatan pakej haji yang disediakan oleh PJH yang dilesenkan TH sahaja dan ia boleh merujuk kepada senarai PJH di laman web TH di www.tabunghaji.gov.my. – MalaysiaGazette

Kelemahan TH punca isu jemaah haji terkandas berulang?