Ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia Bawah 23 tahun Brad Maloney melepaskan jawatan itu hari ini. Foto AMIRUL SHAUFIQ 03 MEI 2022

KUALA LUMPUR – Brad Maloney telah meninggalkan kedudukannya sebagai Ketua Jurulatih B-23 Kebangsaan hari ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengesahkan ia telah melepaskan Brad Maloney secara persetujuan bersama yang dicapai oleh kedua-dua belah pihak.

“Ia dicapai selepas Maloney, 50, hadir ke mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin di Wisma FAM, Kelana Jaya, pagi tadi bagi membentangkan laporan prestasi pasukan kendaliannya pada Sukan SEA 2021 di Vietnam, Mei lalu dan Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan, Jun lalu,”katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Wisma FAM Kelana Jaya hari ini.

Tambah beliau, Maloney merakamkan ucapan terima kasih kepada FAM kerana telah memberi peluang untuk beliau berkhidmat selama lapan tahun sejak 2014.

“Pengalaman mengemudi pasukan selama lapan tahun telah banyak membantu dia dalam meningkatkan karier kejurulatihannya bermula sebagai penolong jurulatih B-23 kebangsaan kepada Datuk Ong Kim Swee sehinggalah dilantik sebagai ketua jurulatih B-19 kebangsaan pada 2019 dan seterusnya ketua jurulatih B-23 kebangsaan.

“Selamat maju jaya kepada Maloney dalam meneruskan karier kejurulatihannya selepas ini dan jasa dan sumbangan beliau sepanjang lapan tahun bersama FAM ini akan sentiasa dikenang,” tegasnya.-MalaysiaGazette