Ismail Sabri
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA – Program Felo Perdana memberi peluang kepada peserta belia untuk memahami selok-belok pentadbiran negara selain tanggungjawab berat yang dipikul oleh menteri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata sebelum menyertai Program Felo Perdana itu, ada antara mereka yang mempunyai pelbagai persepsi terhadap orang politik dan menteri.

“Bila duduk dengan menteri, boleh tahu susah senang jadi menteri. Bagaimana menteri menyelesaikan masalah, ada yang duduk di pejabat sampai 12 malam tak balik lagi pun ada, kerja tujuh hari seminggu, 24 jam sehari.

“Pendedahan ini bagus supaya dalam kalangan pelajar mengetahui apa sebenarnya yang dilakukan ‘bapa-bapa’ menteri, yang selama ini menganggap menteri duduk di pejabat besar, pandu kereta mewah, tetapi tunggulah bila berada bersama menteri nanti kita boleh tahu keadaannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Program Felo Perdana dan Felo Korporat 2022 di sini hari ini.

Seramai 82 peserta Felo Perdana dan 28 orang Felo Korporat menyertai program tahun ini untuk penempatan di pelbagai kementerian dan syarikat korporat yang mengambil bahagian antaranya Bank Islam Malaysia Bhd dan CIMB Bank Bhd.

Ismail Sabri turut meminta para menteri untuk memberikan sebanyak mungkin pendedahan kepada peserta Felo Perdana mengenai pengurusan kementerian, tugas di Parlimen dan kerja-kerja politik.

“Dedahkan sebanyak yang boleh supaya mereka dapat pelajari sepenuhnya apa yang kita buat selama ini supaya ia boleh dijadikan pengalaman,” katanya sambil menambah pendedahan tentang senario politik dan tugas sebagai ahli politik antara perkara yang tidak dapat dipelajari di universiti.

Perdana menteri dalam pada itu menasihatkan peserta felo usah menunggu arahan sebaliknya mengambil inisiatif sendiri untuk menimba pengalaman selama berada di kementerian.

“Kalau felo dijemput hadir (ke mesyuarat pasca-Kabinet), felo boleh tahu tentang isu berkaitan dengan kementerian dan bagaimana dasar kementerian dibuat. Pengalaman ini amat berguna,” katanya.

Ismail Sabri percaya selepas tamat program, ramai peserta Felo akan mendapat tawaran pekerjaan.

“Saya doakan program ini berjaya dan felo semua akan berjaya bukan saja sebagai felo tetapi selepas tamat tempoh Program Felo Perdana,” katanya.

Sejak pelaksanaan Program Felo Perdana pada 2013 dan Felo Korporat pada 2019, seramai 753 anak muda telah menyertainya.

Bagi yang terpilih tahun ini, mereka akan ditempatkan bersama mentor masing-masing bermula hari ini sehingga 31 Dis 2022.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast