Dr Hassan Said

KUALA LUMPUR – Tokoh akademik yang juga merupakan bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA, Profesor Emeritus Datuk Dr. Hassan Said, dilantik sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengelola Universiti Tenaga Nasional (Uniten) berkuat kuasa 30 Mei 2022.

Beliau menggantikan Datuk Seri Hasan Arifin yang juga Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), yang memegang jawatan tersebut sejak Disember 2021.

Hassan merupakan Presiden dan Naib Canselor Taylor’s University dari Ogos 2008 hingga Januari 2016 dan bekas Naib Canselor di Asia e-University, Malaysia (AeU), sejak Februari 2019 sehingga Januari 2021.

Beliau yang pernah memegang jawatan Pengarah Pengajian Tinggi sejak Januari 2005 hingga April 2008, telah mendapat kelulusan Sarjana Muda dalam bidang matematik dari University of Manchester, United Kingdom (UK); diikuti Sarjana Sains serta Doktor Falsafah dari Brunel University, UK.

Kelahiran Kelantan berusia 67 tahun ini adalah penerima anugerah berprestij, Chevalier de I’ Orde National du Merite Award dari Kerajaan Perancis pada tahun 2007.

Ketokohan beliau juga diiktiraf University of Toulouse Jean Jaures, Perancis, antara sebuah universiti awam tertua dan terkemuka di Eropah, yang menganugerahkan Doktor Kehormat (Doctor Honoris Causa). Dr Hassan adalah rakyat Asia Tenggara yang pertama diberikan penghargaan ini.

Hassan yang mempunyai 17 penerbitan penyelidikan turut dianugerahkan Doktor Kehormat dari pelbagai universiti di UK dan Malaysia, antaranya The University of Birmingham (UOB), University of West England, UK, Universiti Malaysia Perlis (UNiMAP) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Ketika ini, Hassan adalah Ahli Jawatankuasa Pendidikan di Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Lembaga Pengarah bagi Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Ahli Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Tinggi di Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT), Ahli Lembaga Pengarah Awantech Technology Berhad dan pelbagai lagi. – MalaysiaGazette