KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan RM20,000 sebagai jaminan kepada Nuramira Abdullah, wanita mengaku hafal 15 juzuk al-Quran lalu menanggalkan baju kurung dan tudungnya dan mendedahkan pakaiannya iaitu baju terdedah sebahagian dada tanpa lengan serta memakai skirt pendek di sebuah kelab komedi baru-baru ini.
Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Aminah Ghazali turut menetapkan beberapa lagi syarat tambahan termasuk melaporkan diri di Balai Polis Brickfields, di sini, setiap bulan selain menyerahkan pasportnya sehingga kes selesai.
Nuramira berdepan dengan tuduhan menghina Islam dan mencetuskan rasa tidak harmoni dalam kalangan orang Islam di negara ini mengaku tidak bersalah dan mohon kesnya itu dibicarakan.
Tertuduh, 26, yang mengenakan kot berwarna hitam dan berbaju t-shirt kuning kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan berkemungkinan berhadapan hukuman penjara dua tahun dan maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding pagi tadi, pasukan pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang menawarkan jaminan RM50,000 atas alasan kes itu mendapat perhatian secara meluas.
Katanya, perbuatan itu juga telah menguris perasaan masyarakat di negara ini dan dengan wang jaminan setinggi itu dapat memberikan pengajaran kepada masyarata pada masa hadapan.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, R Sivaraj memohon anak guamnya dikenakan jaminan minimum RM4,000 dengan syarat tambahan lain memandangkan pendapatan bulanan anak guamnya sebanyak RM3,000.
“Sepatutnya wang jaminan tidak seharusnya ditetapkan pada jumlah tinggi kerana ia bukan bersifat hukuman, sebaliknya bagi memastikan tertuduh hadir ke mahkamah. Tertuduh masih bujang dan bekerja di agensi pemasaran serta perhubungan awam sebelum ini, namun kerjayanya terjejas akibat penularan Covid-19.
“Tertuduh kini bekerja sebagai pegawai eksekutif di syarikat teknologi maklumat dengan anggaran gaji RM3,000 sebulan. Untuk makluman Yang Arif, anak guam kami juga telah beri kerjasama sepanjang proses tahanan,” ujarnya.
Hakim kemudian menetapkan RM20,000 sebagai jaminan dan sebutan kes pada 18 Ogos ini.
Teman lelaki tertuduh yang berusia 38 tahun difahamkan akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pada hari ini.
Pada Sabtu lalu, wanita itu ditahan di Jalan Gasing, Petaling Jaya dan dia direman empat hari sehingga hari ini, manakala teman lelakinya ditahan pada Ahad dan direman selama tiga hari.
Sebelum ini, orang ramai dikejutkan dengan penularan rakaman video berdurasi 54 saat di media sosial yang memaparkan seorang mendakwa berketurunan Melayu, beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran membuka tudung serta baju kurung dipakainya dan mendedahkan pakaiannya iaitu baju terdedah sebahagian dada tanpa lengan serta memakai skirt pendek yang menampakkan sebahagian paha selepas memperkenalkan diri. – MalaysiaGazette