Jalan servis di Taman Free School mengancam nyawa penduduk susulan kenderaan dipandu laju di kawasan berkenaan.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) segera menyelesaikan isu keselamatan pengguna jalan servis di Taman Free School di sini.

Ia susulan laluan tersebut dikatakan kerap berlaku kemalangan sekali gus mengancam keselamatan penduduk setempat.

Jurucakap Parti Gerakan Kawasan Datuk Keramat, Heng See Lin berkata, punca utama kemalangan berlaku adalah disebabkan sikap pemandu yang suka memandu laju di jalan sehala itu sehingga mereka terlupa untuk memperlagakan kenderaan sebaik tiba di persimpangan jalan.

See Lin (tengah).

Jelasnya, lebih kesal apabila isu keselamatan penduduk setempat telah diketengahkan kepada wakil rakyat kawasan Datuk Keramat namun sehingga hari ini tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berwajib.

“Kira-kira dua tahun lepas satu kemalangan berlaku di persimpangan keluar jalan servis itu hingga meragut nyawa seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) malah sehingga kini kemalangan masih berlaku di tempat yang sama cuma tidak meragut nyawa.

“Kita bimbang sekiranya perkara ini tidak diselesaikan kejadian dua tahun lalu itu mungkin berulang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah See Lin, pihaknya telah membuat aduan menerusi aduan online kepada PBT pada 28 Jun lalu serta memberikan cadangan untuk mereka menangani isu berkenaan namun tiada tindakan dibuat sehingga hari ini.

See Lin menunjukkan beberapa lubang di jalan berkenaan yang turut mengakibat berlakunya kemalangan.

“Saya telah mencadangkan agar bonggol jalan atau bonggol had laju dibina sebelum persimpangan keluar dari jalan servis itu agar kenderaan yang melalui laluan berkenaan memperlahankan kenderaan mereka.

“Selain itu, saya turut berharap agar pihak berkuasa dapat mengecat semula kira-kira 10 buah bonggol jalan di kawasan Taman Free School agar pemandu lebih berhati-hati ketika melalui jalan terbabit.

“Sehubungan itu, kami berharap PBT mengambil langkah drastik secepat mungkin dalam menangani masalah ini agar isu kehilangan nyawa ketika melalui jalan tersebut tidak membelenggu penduduk setempat,” tegasnya. – MalaysiaGazette