PUTRAJAYA – Promosi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2022 (MAHA 2022) terus dipergiat sehingga hari terakhir sebelum bermula majlis berprestij itu tiga minggu lagi.
Antara yang dilakukan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pada hari ini adalah Street Attack bagi mempromosi MAHA 2022.
Street Attack ini adalah bagi mempromosi program Larian MAHA 2022@MAEPS Serdang yang diisi dengan program zumba dalam kalangan warga kementerian dan agensi di bawahnya.
Untuk makluman, Larian MAHA 2022 bakal diadakan pada 23 Julai 2022.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI, Datuk Badrul Hisham Mohd, program itu diyakini mampu membantu untuk melonjakkan impak promosi dan publisiti MAHA 2022.
“Kita sedang menggerakkan usaha-usaha, getarannya mula dirasai dan ini adalah salah satunya,” katanya ketika sidang media ketika ditemui di Program Street Attack di lobi MAFI di sini hari ini.
Selain itu, promosi yang akan dilakukan adalah Flag Off MRT Train MAHA 2022 pada 15 Julai ini selain media tour seluruh negara.
Tambah Badrul, MAFI sentiasa komited menjalankan usaha-usaha mempromosikan MAHA 2022 sehingga ke saat-saat terakhir memandangkan empat tahun pameran pertanian berkenaan tidak diadakan akibat pandemik.
Mengulas lanjut, beliau berkata, MAFI kali ini mengetengahkan kepentingan industri makanan yang seiring dengan tema MAHA iaitu ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan.’
“Kita tidak lari daripada usaha MAFI untuk memberikan jaminan bekalan makanan untuk rakyat Malaysia,” tambahnya.
Katanya, antara kelainan pameran berkenaan pada tahun ini adalah penglibatan secara langsung semua kementerian selama 11 hari penganjuran pameran pertanian berkenaan.
“Semua kementerian dan Kabinet akan dilibatkan sepanjang 11 hari. MAHA kali ini bukan sahaja untuk keselamatan industri makanan tetapi juga MAHA Keluarga Malaysia,” katanya.
MAHA 2022 dijangka bakal menarik seramai 1.1 juta pengunjung sepanjang 11 hari penganjurannya.
Bermula pada 4 Ogos, majlis pelancaran akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari ketiga iaitu 6 Ogos nanti.
Diadakan dalam waktu negara kini dalam peralihan ke fasa endemik, MAFI dalam masa yang sama menurut Badrul, mengambil langkah berjaga-jaga dengan menghadkan jumlah pengunjung ke MAEPS.
“Kapasiti MAEPS adalah tiga juta tapi kita hadkan kepada satu juta itu menunjukkan kita ambil langkah berhati-hati supaya tidak akan jadi lagi satu episod jangkitan.
“Semua peniaga dan yang terlibat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP),” katanya lagi. – MalaysiaGazette