UPM

KUALA LUMPUR – Harga makanan yang dijual di kampus Universiti Putra Malaysia (UPM) dapat diturunkan, sekaligus memberi kelegaan kepada pelajar yang kini sedang menghadapi peperiksaan akhir.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM, Mohammad Haziq Zikri Zainuri berkata, penurunan harga makanan itu sangat membantu pelajar dan ia selari dengan saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Pelajar tidak perlu lagi bimbang tentang harga makanan dan mereka boleh fokus kepada peperiksaan. Ini baik untuk kesejahteraan mental mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohammad Haziq Zikri berkata, pada masa sama, MPP UPM sentiasa memantau perkembangan harga makanan agar terus terkawal.

“Bagi mengawal harga makanan, beberapa perbincangan telah dilakukan oleh MPP UPM bersama pihak UPM. Kami mencadangkan harga syiling yang wajar ditetapkan untuk semua vendor UPM.

“Antara inisiatif yang telah dilakukan sejak 8 Julai iaitu melaksanakan jualan makanan serendah RM3.50 kepada kesemua warga UPM di bawah inisiatif Menu Kasih Pelajar Keluarga Malaysia,” ujarnya.

Tambah beliau, pelajar-pelajar tidak menghadapi masalah yang besar untuk bersiap siaga menghadapi peperiksaan akhir sewaktu minggu ulang kaji kerana pihak universiti sangat peka akan kebajikan pelajar UPM.

Sebelum ini, Institusi Pengajian Tingg (IPT) tempatan telah mengeluarkan inisiatif untuk pelajar dengan menyediakan menu makanan berkualiti dengan harga serendah RM3.50 bagi setiap hidangan bagi meringankan beban kos sara hidup penuntut IPT khususnya golongan B40.

Terdahulu, Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengumumkan menu makanan berkualiti dengan harga siling RM3.50 bagi setiap hidangan akan diperkenalkan menerusi inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia, pada 4 Julai lepas. – MalaysiaGazette