Menu Kasih Siswa Keluarga Malaysia di UTM sudah pastinya memberi kelegaan kepada mahasiswa di universiti berkenaan.

JOHOR BAHRU – Pelaksanaan Program Bakul Makanan Siswa Keluarga Malaysia menerusi inisiatif Menu Kasih Siswa Keluarga Malaysia disifatkan tepat pada masa, terutama ketika kos sara hidup semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Pada harga RM3.50 untuk pelbagai pilihan menu makanan yang ditawarkan sejak 11 Julai lalu, inisiatif itu dilihat dapat meringankan beban pelajar selain pentadbir Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang berusaha menyediakan persekitaran terbaik dan kondusif.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, dengan adanya bantuan seumpama ini, pelajar kini boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran tanpa memikirkan perbelanjaan membeli makanan.

Katanya, pihak universiti itu dengan kerjasama Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Timbalan Naib Canselor Pembangunan dan Majlis Perwakilan Mahasiswa komited untuk memastikan kebajikan pelajar sentiasa terpelihara.

“Mana-mana pelajar yang berkeinginan untuk menikmati hidangan dengan harga istimewa yang ditawarkan boleh mengunjungi kafeteria The Kave di Arked Cengal, Pak Lah Cafe U9 Scholar Inn dan The Ohsemstation di Arked N24,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Fauzi, UTM juga sentiasa melakukan pemantauan harga dan kualiti makanan yang ditawarkan bagi memastikan para pelajar menikmati harga makanan yang berpatutan dan mempunyai nutrisi yang lengkap.

Daripada maklumbalas yang diterima, ujarnya, pelajar UTM memberikan respon yang positif kepada inisiatif Menu Kasih Siswa Keluarga Malaysia.

“Adalah diharapkan supaya komuniti mahasiswa pengajian tinggi dapat memanfaatkan kemudahan yang diperkenalkan oleh KPT ini,” katanya. – MalaysiaGazette