Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)

KUALA LUMPUR – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menggunakan dron DJI Matrice 300 RTK berteknologi tinggi bagi memantau kawasan sensitif sumber air untuk mengelak risiko pencemaran.

Agensi itu berkata, penggunaan peralatan canggih dengan spesifikasi industri itu dikendalikan syarikat Aerodyne Geospatial Sdn Bhd.

Katanya, ia digunakan untuk pemantauan 31 kawasan berisiko di lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Semenyih pada waktu siang dan malam.

“Dron DJI Matrice 300 RTK itu berkeupayaan mengesan aktiviti mencurigakan atau sebarang perubahan di lokasi pemantauan.

“Pemantauan menggunakan kenderaan tanpa pemandu (UAV) bersama LUAS turut dilaksanakan sekiranya berlaku insiden pencemaran sungai iaitu kod kuning (berisiko menyebabkan henti tugas loji rawatan air (LRA)) atau merah (henti tugas LRA),” kata LUAS menerusi hantaran di Facebook.

Teknologi dron mula digunakan Skuad Pantas LUAS untuk memantau pencemaran dan pencerobohan sungai di Selangor pada November 2020.

Aerodyne Geospatial yang mengendalikannya adalah anak syarikat Kumpulan Aerodyne iaitu penyedia perkhidmatan dron nombor satu di dunia pada tahun lepas. – MalaysiaGazette