KUALA LUMPUR – Crackhouse Comedy Club yang menjadi lokasi pelawak melakukan komediri perlu ditutup terus.
Kesalahan yang dilakukan oleh kelab tersebut bukan dilakukan oleh seorang sahaja tetapi turut menjadi pentas berberapa siri penghinaan terhadap Islam dan kaum tertentu.
Ketua Pergerakan pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penghinaan yang dibuat oleh pelawak dalam kelab tersebut boleh ditonton di YouTube dan media sosial.
“Isu Crackhouse Comedy Club bukan hanya melibatkan perbuatan seorang wanita sahaja. Cubalah tengok di Youtube.
“Bukan sekali dua tapi bersiri-siri lawak jenaka dan komedi yang menyindir, meremeh dan memperlekeh Islam dan secara halus juga mempersendakan kaum tertentu berterusan diadakan melalui pentas kelab ini.
“Apakah kita rela kesucian agama Islam dipersendakan sewenangnya atas nama hiburan, kebebasan bersuara ataupun seni jenaka?” soal Asyraf Wajdi.
Beliau berkata, melihat kepada beberapa sedutan babak-babak lawak yang dipersembahkan di Youtube amat ketara kebiadaban kelab tersebut terhadap Islam dan kaum tertentu.
Katanya, Crackhouse Comedy Club telah dijadikan pentas untuk mencari keuntungan dengan menggunakan pendekatan mempersendakan agama dan menyemaikan benih kebencian kaum secara halus.
Justeru amat wajar agar pihak berkuasa menutup terus kelab tersebut dan mengambil tindakan tegas sebelum wujud lebih banyak pentas komedi yang boleh menggugat keharmonian dan kerukunan hidup masyarakat majmuk di Malaysia.
“Apa keperluan buat perbandingan dangkal dengan mengaitkan dan disamakan pula dengan pendekatan ceramah agama?
“Pemuda UMNO tetap berpendirian tegas, kelab ini wajib ditutup terus!
“Apa-apapun tahniah buat pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kerana pantas bertindak dengan menyita premis tersebut,” katanya melalui kenyataan di media sosial.
Semalam seorang wanita yang menimbulkan kontroversi semasa membuat persembahan komediri minggu lepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menghina agama Islam.
Nuramira ditahan Bukit Aman Ahad lepas dan sejak itu berada bawah reman. Video berdirasi 54 saat persembahan wanita itu tular di media sosial.
Dalam persembahannya, wanita itu mendakwa beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba menanggalkan baju kurung dan tudung dipakainya.
Teman lelaki wanita tersebut, V Alexander Navin turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan memuat naik hantaran jelik dengan niat menyakitkan hati di media sosial.
Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Turut tular di media sosial beberapa siri komediri yang dilakukan di kelab itu yang turut mengandungi lawak yang didakwa menghina Islam dan orang Melayu. – MalaysiaGazette