KUANTAN – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan membaik pulih sebanyak lapan buah Gelanggang Tenis Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di Taman Gelora, Kuantan dengan anggaran kos RM136,000.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, proses penyelenggaraan dan menaik taraf gelanggang tenis itu akan memakan masa sebulan dijadualkan bermula Ogos ini.
“Gelanggang ini akan ditutup selama sebulan bagi proses penyelengaraan dan akan dibuka semula pada bulan September nanti.
“Kali terakhir gelanggang ini dibaikpulih dan diselanggara ialah pada 12 tahun lepas, jadi wajarlah untuk KBS membantu memberi peruntukkan supaya dapat digunakan lebih optimum,” katanya ketika ditemui media hari ini.
Hadir sama Presiden Persatuan Tenis Negeri Pahang (PTP) Datuk Armin Rahman, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Mu’azamir Jili, dan juga ahli jawatankuasa PTP.
Katanya terdahulu Persatuan Tenis Pahang berjaya menganjurkan Pertandingan Tenis Remaja Malaysia membabitkan penyertaan lebih 300 pemain di pada Jun lalu menunjukkan Pahang berpontensi menjadi penganjur perlawanan tenis yang baik.
Artikel berkaitan: Perlu RM5.4 juta untuk naik taraf Stadium Hoki Indera Mahkota
KBS luluskan RM60 juta baik pulih fasiliti sukan di Pahang
Dari tapak parkir kepada litar go-kart profesional
“Bila persatuan banyak penganjurkan pertandingan di sini, menunjukkan sambutan menggalakan namun perlu menambah baik kemudahan infrastruktur bagi terus melahirkan permain tenis di negeri ini.
“Pihak KBS akan terus memberikan komitmen tinggi dan kerjasama padu dalam membangunkan fasiliti dan infrastruktur sukan di negara ini seiring ke arah membudayakan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan (Sporting Nation).
Jelas Lian Ker, pihaknya tiada sebarang cadangan pembinaan gelanggang baharu namun berusaha untuk membaik pulih kemudahan sukan sedia ada sebagai sokongan kepada industri sukan.
Difahamkan pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) sedang mempertimbangkan bagi persatuan yang berminat untuk mengambil alih pengurusan gelanggang tersebut pada masa akan datang.
Sehingga kini sambutan yang diberikan menggalakkan, yang mana tempahan gelanggang tenis pada setiap hari oleh peminat sukan ini.
Harga sewa ditawarkan sebanyak RM8 setiap jam pada 7 pagi hingga malam, manakala RM14 bagi setiap jam penggunaan pada waktu malam. – MalaysiaGazette