Datuk Seri Ti Lian Ker

KUANTAN – Peruntukan sebanyak RM5.4 juta diperlukan sekurang-kurangnya untuk menaik taraf serta membaik pulih padang hoki Wisma Belia Indera Mahkota di sini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Ti Lian Ker berkata, surat permohonan bagi mendapatkan peruntukan tersebut dibuat melalui Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

“Pihak saya ada terima permohonan MBK yang merupakan pentadbir dan penyelaras stadium hoki Indera Mahkota untuk naik taraf dan baik pulih berjumlah RM5 juta.

“Kementerian akan memberi sokongan dan memproses permohonan secepat mungkin dan melakukan kerja-kerja pembaikan asas terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penganjuran minggu Karnival Belia dan Sukan Kuantan di bangunan MBK hari ini.

Bermula tahun 2009, Padang Hoki Indera Mahkota adalah antara lokasi tumpuan penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa selain kejohanan liga tempatan.

Stadium hoki itu mula dibuka untuk kejohanan antarabangsa pada tahun 2009 dan kali terakhir digunakan bagi Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia pada tahun 2016.

Dalam pada itu, pihaknya sedang merangka program minggu Karnival Belia dan Sukan Kuantan dijadualkan berlangsung pada 24 hingga 26 Jun akan datang.

Karnival tersebut berlangsung sempena Sambutan Hari Belia di Dataran MBK dan Padang Kemunting Jalan Tanah Putih di Kuantan.

Sebanyak 11 acara dipertandingkan dan mensasarkan kira-kira 500,000 pengunjung akan turut serta memeriahkan karnival tersebut. – MalaysiaGazette