Tunku Ismail Sultan Ibrahim Regent of Johor HSI Sultan ismail hospital pregnant woman give birth alone Crown Prince of Johor Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Tunku Ismail Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor digesa menyerahkan soal membaik pulih Stadium Shah Alam kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekiranya kerajaan negeri tidak mampu menguruskan fasiliti sukan itu.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, TMJ terbukti berjaya menaik taraf Stadium Sultan Ibrahim hingga tersenarai sebagai antara stadium terbaik dunia mengatasi Stadium Allegiant di Las Vegas dan Stadium Ahmad Bin Ali di Qatar.

“TMJ juga berjaya membantu dan menyumbang kepada Perbadanan Stadium Malaysia bagi memulihkan dan menyelenggara Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum ini.

“Saya amat yakin TMJ mampu menyelamatkan Stadium Shah Alam yang menjadi ikon sukan Asia Tenggara agar terus beroperasi, berbanding tindakan gelojoh Kerajaan Negeri Selangor untuk merobohkannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 29 Jun lalu, media melaporkan gelanggang rasmi bagi pasukan bola sepak Red Giants itu didakwa akan diroboh dan digantikan dengan sebuah stadium baharu yang lebih kecil.

Stadium baharu didakwa berkapasiti 30,000 hingga 40,000 penonton itu lebih mudah dijaga dan diselenggara berbanding Stadium Shah Alam sekarang yang boleh memuatkan sehingga 80,300 orang.

Menurutnya, cadangan perobohan Stadium Shah Alam bukan sahaja keputusan tidak bijak, bahkan memalukan negara kerana tindakan mengecilkan saiz fasiliti itu adalah satu langkah ke belakang.

“Langkah itu tidak selari dengan matlamat Majlis Sukan Negeri Selangor yang sibuk merangka pelbagai agenda kemajuan sukan di bawah Program Generasi Muda dan Sukan,” katanya.

Sebaliknya, Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor itu mengesyorkan Kerajaan Negeri Selangor memilih lokasi lain jika mahu meneruskan cadangan membangunkan stadium lebih kecil yang berkapasiti 40,000 penonton itu.

“Kerajaan Selangor sepatutnya mempertahankan Stadium Shah Alam yang berusia 28 tahun itu demi membina kegemilangan Selangor FC.

“Menteri Besar perlu mencontohi United Kingdom yang mempertahankan Stadium Old Trafford yang berusia lebih 100 tahun itu untuk membina kegemilangan kelab bolasepak Manchester United,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast