Rampasan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM8 juta ditemui di makmal dan stor simpanan dadah hasil lima serbuan oleh PDRM baru-baru ini. Foto Ihsan JSJN PDRM

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia hari ini berjaya membongkar makmal  memproses, membungkus dan setor penyimpanan dadah pelbagai jenis dadah bernilai RM8.07 juta.

Makmal itu dibongkar susulan serbuan tergempar di lima lokasi berlainan sekitar Lembah Klang pada 8 Julai lalu, kata Setiausaha Polis Malaysia PDRM, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin.

Katanya, dalam serbuan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor itu hasilnya pihak polis telah berjaya menahan seramai 11 orang disyaki ahli sindiket dadah makmal haram itu.

“Kesemua suspek yang terdiri daripada sembilan lelaki warga tempatan, seorang lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing berumur dalam lingkungan 22 hingga 38 tahun dan dipercayai terlibat aktif dengan aktiviti pemprosesan dan pengedaran dadah itu untuk pasaran tempatan di sekitar Lembah Klang.

“Dalam operasi tersebut pihak polis telah berjaya merampas sejumlah 141.4 kilogram pelbagai jenis dadah iaitu 106.3 kilogram ketamin, 18.6 kilogram pil eramin 5 dan 16.5 kilogram pil ekstasi yang keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM8.07 juta,” katanya dalam kenyataan kejayaan itu yang dikeluarkan di Bukit Aman hari ini.

Tambah beliau, jumlah rampasan dadah itu dipercayai boleh digunakan oleh seramai 502,257 orang penagih dadah.

Menurut Noorsiah, modus operandi yang digunakan sindiket terbabit adalah menjadikan premis kediaman sebagai tempat memproses dan stor penyimpanan bekalan dadah itu.

“Kesemua bekalan barang terlarang itu kemudian akan diedarkan untuk pasaran tempatan terutama di sekitar Lembah Klang.

“Sindiket berkenaan dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan pemprosesan dan pengedaran dadah sejak bulan Februari 2022,” ujar beliau.

Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek telah direman selama tujuh hari bermula 9 hingga 16 Julai ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan lanjut polis.

Semakan rekod mendapati dua daripada 11 suspek berkenaan mempunyai rekod lampau melibatkan kes dadah dan jenayah yang disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Selain itu jelas beliau, tindakan juga diambil ke atas kesemua suspek di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, apabila hasil serbuan itu pasukan narkotik Bukit Aman juga berjaya menyita pelbagai aset milik sindiket  termasuk barang kemas yang dianggarkan bernilai RM582,331.

“Antara aset milik suspek sindiket yang berjaya disita adalah lapan kenderaan bernilai RM522,800, wang tunai berjumlah RM20,330 disyaki diperolehi hasil dari kegiatan dadah dan barang kemas bernilai RM39,201.

“Dengan pelaksanaan lima serbuan itum nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta sindiket adalah berjumlah RM8.65 juta,” katanya samboil menambah polis akan meneruskan siasatan untuk mengesan dan memberkas saki baki ahli sindiket yang dipercayai masih bebas di luar. – MalaysiaGazette