Seorang pemandu treler maut akibat tersepit selepas kenderaan dipandunya itu melanggar sebuah lori membawa muatan batu bata dalam kemalangan di KM38.5 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan), dekat Kulai, hari ini.
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pemandu lori mungkin akan menjalani ujian air kencing secara mengejut bagi memeriksa sama ada mereka memandu di bawah pengaruh dadah ataupun alkohol.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong melontarkan cadangan itu selepas kes kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan berat seperti treler semakin menjadi-jadi.

Ka Siong berkata, ujian saringan boleh dilakukan di pelbagai lokasi termasuk di pejabat syarikat pengangkutan.

Ujian itu akan dilakukan menerusi kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

“Selain mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pesalah, saya juga melihat keperluan melaksanakan ujian saringan kepada para pemandu bagi mengelakkan mereka memandu dalam keadaan dipengaruhi dadah atau alkohol.

“Menerusi kerjasama pihak PDRM dan AADK, ujian saringan ini mungkin boleh dilakukan secara berkala, dibuat secara mengejut dan dilaksanakan di pelbagai lokasi termasuk di pejabat-pejabat syarikat pengangkutan dan logistik,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, dalam kejadian pukul 3 petang semalam, seramai empat individu yang terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita disahkan maut dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan termasuk kenderaan berat di Kilometer (KM) 277.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan.

Hari ini berlaku lagi kemalangan membabitkan dua lori, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), tiga kereta, dua motosikal dan 21 basikal.

Kejadian itu menyebabkan seorang wanita maut, manakala empat lagi termasuk bayi cedera selepas terbabit kemalangan di Jalan Kamunting.

“Saya amat sedih dengan apa yang berlaku. Takziah buat ahli keluarga mereka. Semoga roh mereka dicucuri rahmat.

“Saya telah mengarahkan agensi-agensi dan pihak yang berkaitan termasuk JPJ, MIROS serta Puspakom untuk meneliti kes kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan berat dengan lebih menyeluruh. Kaedah penyelesaian yang berkesan perlu disegerakan,” katanya.

Katanya, syarikat perlu bertanggungjawab sepenuhnya terutama jika hasil siasatan mendapati kenderaan tidak diselenggara dengan baik dan tidak mematuhi peraturan.

Ka Siang berkata, beliau mahu memastikan syarikat terbabit tidak lepas tangan.

“Syarikat-syarikat dan para pemain industri juga perlu memandang serius perkara ini terutamanya dalam memastikan keselamatan pekerja-pekerja mereka sentiasa terjamin.

“Undang-undang yang digubal perlu dipatuhi dan dihormati sepenuhnya, ianya bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan nyawa manusia,” jelas beliau. – MalaysiaGazette