Perjanjian kerjasama UTHM diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, UiTM pula diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, Profesor Dr. Mohamad Hariri Hj. Abdullah manakala Fraunhofer IEM diwakili Pengarahnya, Profesor Dr.-Ing. Roman Dumitrescu.

KUALA LUMPUR – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjalin kerjasama dengan the Fraunhofer Institute for Mechatronic Systems Design IEM khususnya dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) meliputi akademik, penyelidikan dan inovasi.

Fraunhofer-Society yang berpangkalan di Jerman ialah organisasi penyelidikan gunaan terkemuka di dunia yang mengutamakan teknologi penting masa hadapan dan mengkomersialkan penemuannya dalam perniagaan dan industri.

The Fraunhofer Institute for Mechatronic Systems Design IEM yang terletak di Paderborn, Jerman ini memfokuskan kepakaran dalam bidang mekatronik pintar bagi industri 4.0.

Pada Julai 2017, Kementerian Pendidikan dan Penyelidikan Republik Persekutuan Jerman (BMBF) telah meluluskan projek “RAISE-MED” berjumlah €612,000 selama lima tahun bermula dari 2017 hingga 2022.

Matlamat projek ini adalah untuk membawa model Fraunhofer (penyelidikan gunaan) ke Malaysia melalui penubuhan bersama makmal inovasi.

Sebelum ini UTHM dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Fraunhofer IEM pada April 2018.

Perjanjian kerjasama itu bertujuan mengadaptasikan Model Fraunhofer, Jerman ke arah penambahbaikan ekosistem inovasi dan hubungan universiti-Industri di Malaysia, membantu UTHM memperkasakan jaringan dengan industri tempatan dan industri Jerman, kerjasama dalam penyelidikan gunaan dan perundingan serta kerjasama dua negara khususnya berkaitan pertukaran pelajar dan staf dengan institusi peneraju IR4.0 di Jerman.

Manakala pada 29 Januari 2019 lalu, UTHM dan Fraunhofer IEM telah melancarkan makmal inovasi “innovationlabs.my” di kampus induk UTHM, Batu Pahat.

Seterusnya pada 24 September 2019, UiTM dan Fraunhofer IEM turut melancarkan makmal inovasi “innovationlabs.my” kedua di kampus UiTM.

Penubuhan makmal inovasi ini untuk dijadikan pusat membangunkan idea inovasi yang dapat menghasilkan produk dan perkhidmatan berteraskan teknologi terkini.

Makmal ini dapat mempergiatkan lagi aktiviti pemindahan ilmu dan teknologi, khususnya dalam bidang TVET daripada universiti mengikut model Jerman untuk diketengahkan kepada industri bagi menghasilkan produk dan perkhidmatan yang berteknologi tinggi sekali gus menepati kehendak pasaran.

Bagi meneruskan lagi kerjasama tersebut, satu majlis menandatangani Letter of Intent (LoI) telah diadakan pada 13 Julai 2022 di Fraunhofer IEM di Paderborn.

LoI itu ditandatangani sempena lawatan rasmi HI-TVET Ketua Setiausaha, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar ke Jerman pada 12 hingga 16 Julai 2022.

Lawatan ini menjadi salah satu usaha dalam membangunkan lagi penubuhan makmal inovasi yang telah ditubuhkan bersama sebelum ini.

UTHM diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, UiTM pula diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, Profesor Dr. Mohamad Hariri Hj. Abdullah manakala Fraunhofer IEM diwakili Pengarahnya, Profesor Dr.-Ing. Roman Dumitrescu.

Sesi menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Ketua Setiausaha, KPT dan Pesuruhjaya ASEAN Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Inovasi, Pendigitalan dan Tenaga Negeri Rhine-Westphalia Utara, Karl-Uwe Buetov.

Kerjasama ini akan memberi tumpuan kepada lanskap sains dan inovasi Jerman serta lawatan industri ke wilayah Ostwestfalen-Lippe, termasuk Automasi Beckhoff di Verl, GEA Westfalia Separator di Oelde dan Diebold Nixdorf di Paderborn. – MalaysiaGazette 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast