KUALA PILAH – Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyumbang 35 lembu untuk ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha Ahad lalu.
Daging korban itu dimanfaatkan kepada 4,650 penerima dari golongan asnaf serta mereka yang kurang berkemampuan.
Menurut Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Adnan Abu Hassan, program itu melibatkan sukarelawan, iaitu pelajar tajaan yayasan berkenaan yang membantu komuniti setempat agar urusan ibadah korban berjalan lancar.
Kata beliau, inisiatif itu juga sebagai usaha meningkatkan pengetahuan dan proses penyembelihan halal menurut Islam kepada masyarakat khususnya pelajar tajaan.
“Melalui program ini juga kita turut mengagihkan kepada 400 penerima keluarga B40, asnaf, mereka yang uzur dan penduduk setempat yang terjejas di sekitar Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
“YBR sentiasa cakna dengan situasi masyarakat yang terkesan akibat gelombang Covid-19 yang melanda negara ini dan dunia khususnya sejak dua tahun ini dan juga melihat kepada keadaan ekonomi yang tidak menentu.
“Kita harap program begini dapat membantu mereka yang kurang bernasib baik melalui amal jariah dan secara tidak langsung meningkatkan ilmu serta kesedaran dalam membantu masyarakat,” katanya kepada media di Kampung Temeris, dekat sini semalam.
Turut hadir, Pengurus Besar Wilayah Tengah Felcra Berhad, Mustafa Sulaiman; Pengurus Kawasan Temeris Felcra Berhad, Dahari Mohd Sham; dan Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani.
Menurut Adnan, bantuan itu bertepatan dengan semangat sambutan Hari Raya Aidiladha, yang menggalakkan umat Islam bersedekah dan memuliakan golongan memerlukan serta sebagai tanda ikhlas YBR dalam membantu mereka meneruskan kehidupan. – MalaysiaGazette