Hee Sem (kiri) dam Norena memeriksa berat minyak masak peket bersubsidi dalam pemeriksaan di sebuah kilang pembungkusan di Batu Berendam, Melaka hari ini.

MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka menyiasat sebuah kilang pembungkusan minyak masak bersubsidi di negeri selepas dipercayai melakukan penipuan berat paket keperluan asas itu.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, ia susulan serbuan dalam pemeriksaan pemutihan semalam yang mengesan 850 minyak masak paket satu kilogram kurang kira-kira 100 gram daripada berat sepatutnya.

Menurutnya, dalam serbuan jam 3 petang itu, pihaknya menyita 850 peket minyak tulen berkenaan yang didapati mempunyai berat antara 0.9 hingga 0.93 gram, kurang daripada satu kilogram.

“Susulan itu, kita telah menyita semua minyak masak berkenaan yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 dibaca bersama Seksyen 6(1)(b) akta sama.

“Alasan diberikan pengilang adalah timbang mereka mempunyai masalah dan siasatan lanjut sedang dilakukan termasuk mengesan adakah stok bekalan sama telah diedarkan kepada pasaraya atau pemborong,” katanya.

Norena Jaafar

Tambahnya, sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM250,000 bagi kesalahan pertama manakala RM500,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan serbuan mengejut terhadap dua buah kilang pembungkusan minyak masak bersubsidi di Taman Melaka Baru dan Taman Merdeka, Batu Berendam di sini hari ini.

Operasi diketuai Exco Perpaduan, Penerangan, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Ngwe Hee Sem.

Mengulas lanjut, Norena berkata, setakat ini, KPDNHEP Melaka sudah melakukan lapan pemeriksaan mengejut terhadap pengilang pembungkusan di Melaka daripada 12 pengilang di negeri ini.

“Kebanyakan kilang ini sudah beroperasi selama lebih 10 tahun dan hasil pemeriksaan setakat ini, hanya satu kilang dikenakan tindakan semalam.

“Operasi pemutihan ini akan terus dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan stok bekalan minyak masak bersubsidi di Melaka keseluruhannya berjumlah 1,800 tan cukup di pasaran,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast