Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN

KUALA LUMPUR – Susulan khabar angin bahawa kerajaan berniat “memindahkan” Stadium Bukit Jalil ke Sepang, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker menjelaskan sebenarnya hanya timbul idea memindah Majlis Sukan Negara (MSN) dari Bukit Jalil ke Sepang.

Beliau berkata, pemindahan itu bertujuan membolehkan MSN mempunyai lebih banyak tanah dan ruang untuk pembangunan masa depan.

Lian Ker turut menjelaskan bahawa cadangan pemindahan itu masih di peringkat “sangat awal”  dan belum lagi memutuskan soal kos.

“Jika ada yang berminat, barulah kami akan membawa kepada Kabinet. Pada peringkat ini, soal kos pun belum dibincangkan,” katanya kepada China Press.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah portal berita bahasa Inggeris bahawa Stadium Bukit Jalil yang menelan kos pembinaan berbilion ringgit akan dipindahkan ke Sepang.

Perkara tersebut dilaporkan akan dibawa menteri untuk dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

Portal itu malahan melaporkan bahawa sudah terdapat pemaju yang mengintai tanah Stadium Bukit Jalil dan mahu membangunkan projek berintegrasi di situ selepas pemindahan berlaku.

Mengulas lanjut, Lian Ker berkata, kawasan sekitar Stadium Bukit Jalil telah dibangunkan sepenuhnya, sehingga menyebabkan tiada ruang untuk MSN untuk membangun.

Katanya, keadaan itu seterusnya mendorong timbulnya idea dalam Kementerian Belia dan Sukan untuk memindahkan majlis itu ke Sepang.

“Stadium Bukit Jalil akan kekal di kawasan sedia ada,” katanya.

– MalaysiaGazette