KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia tetap teguh dan komited untuk mencari kebenaran, menuntut keadilan serta mengheret mereka yang bertanggungjawab dalam tragedi MH17 ke muka pengadilan dan kepada prosiding jenayah yang bebas, terbuka dan telus terhadap penjenayah yang didakwa dalam pendakwaan kebangsaan di Belanda ketika ini.
Esok merupakan ulang tahun kelapan tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai 2014.
Kejadian itu menyebabkan semua penumpang dan anak kapal seramai 298 orang terbunuh.
Tragedi tersebut berlaku ketika pesawat berkenaan dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong turut turut menggesa semua negara dan pihak yang terlibat untuk memberi kerjasama sepenuhnya mengikut Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) 2166 (2014).
Menurutnya, proses kehakiman yang menyeluruh mesti dilakukan untuk mendapatkan kebertanggungjawaban penjenayah dan menuntut keadilan bagi mangsa serta waris yang terlibat dalam tragedi MH17.
”Mencari kebenaran terhadap nahas yang berlaku akan terus menjadi keutamaan kami. Kami mengulangi rasa simpati dan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan insan tersayang mangsa nahas penerbangan MH17.
”Walaupun tidak dapat mengembalikan mereka ke dunia ini atau mengurangkan kesedihan serta keperitan yang dirasai oleh ahli keluarga dan orang tersayang, namun adalah penting untuk kita meneruskan peranan kita dan memastikan insiden tragis seperti ini tidak akan berulang lagi.
”Sebagai tanda solidariti kami bersama waris, tragedi yang mengorbankan 298 nyawa penumpang dan anak kapal tersebut akan terus diingati.
”Pemergian mereka yang terkorban, begitu juga dengan ahli keluarga dan insan tersayang akan sentiasa kami iringi dengan doa,” ujarnya. – MalaysiaGazette