Ong Kim Swee.

KOTA KINABALU – Pemain Sabah FC perlu belajar daripada kekecewaan selepas tewas dengan gol saat akhir pada aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) malam tadi, dan bangkit menjadi pasukan lebih kuat pada aksi seterusnya.

Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, beliau tidak menyalahkan sesiapa berikutan kekalahan itu, namun berharap anak buahnya dapat memperbaiki corak permainan dan mengelak melakukan kesilapan dalam perlawanan selepas ini, selain bijak mengawal diri sehingga perlawanan tamat.

“Kita sangat kecewa apabila dibolosi pada minit-minit akhir terutamanya kepada penyokong yang hadir…amat sukar untuk kita terima namun kita tidak boleh menidakkan bahawa JDT adalah pasukan yang baik.

“Kita tahu JDT bermain sepertimana mereka sentiasa bermain dan kita berjaya mengekang asakan yang mereka lakukan, namun sepakan percuma (pada saat akhir permainan) yang memisahkan Sabah dan JDT,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Stadium Likas di sini malam tadi.

Pada perlawanan melibatkan dua pasukan teratas Liga Super itu, Sabah tewas kepada JDT di laman sendiri dengan keputusan 2-1, apabila Fernando Forestieri menjaringkan gol menerusi sepakan percuma pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.

Ditanya mengenai prestasi kurang memberangsangkan ditampilkan pemain import baharu Sabah FC Jose Embalo, Kim Swee berkata perlawanan Sabah dan JDT malam tadi sangat pantas dan Embalo sentiasa bermain bersendirian di bahagian serangan selain terpaksa berdepan dua hingga tiga pemain lawan.

“Dengan permainan seperti itu, walaupun kita meletakkan seorang penyerang terbaik mereka juga akan sukar apabila sentiasa berhadapan dengan dua hingga tiga pemain,” katanya.

Sementara itu, pengendali JDT Benjamin Mora berkata JDT berhadapan kesukaran untuk menentang Sabah kerana semangat pemain skuad The Rhinos yang sentiasa melawan tanpa putus asa.

“Pada awal permainan kami cuba memberi tekanan dan menyerang sambil mencipta banyak peluang tetapi gagal menjaringkan gol, ia perlawanan yang sukar dan kami berjaya mendapat gol kemenangan pada saat-saat akhir,” katanya.

Sabah dijadual berdepan Terengganu FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas, Selasa ini. – BERNAMA