SHAH ALAM – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu memartabat dan mempopularkan Bahasa Melayu hingga ke Amerika Syarikat sedangkan penguasaan Bahasa Kebangsaan itu masih lemah di negara ini.
Beliau berkata, sebagai permulaan, kerajaan perlu memartabatkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terlebih dahulu jika mahu rakyat menguasai Bahasa Melayu dengan baik.
“Martabatkan DBP, terjemahkan karya-karya besar, hasilkan karya-karya agung, popularkan karya-karya Sasterawan Negara dan sastera rakyat.
“Tak payah kita membebel soal nak martabatkan Bahasa Melayu atau nak popularkan Bahasa Melayu di Washington DC, mula di sini (Malaysia), tingkatkan keupayaannya supaya Bahasa Melayu itu dikuasai dengan baik.
“Ia patut menjadi bahasa pengantar utama di semua sekolah untuk menguasai Bahasa Melayu tanpa kecuali sama ada aliran Cina, Tamil dan sebagainya,” katanya ketika menyampaikan ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional ke-16 Keadilan, di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.
Anwar berkata, menteri Kabinet dan pemimpin-pemimpin UMNO perlu mencontohi pemimpin Pakatan Harapan (PH) bukan Melayu yang boleh menguasai Bahasa Melayu lebih baik daripada mereka.
“Semalam saya baca temubual Anthony Loke, dia bangga dengan penguasaan Bahasa Melayu dia yang kadang-kala lebih baik dan lebih petah daripada sesetengah menteri Melayu.
“Malah (penguasaan) Bahasa Melayu Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang jauh lebih baik daripada beberapa pemimpin UMNO,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan perlu menyedari bahawa Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin menjadi bahasa pengantar yang penting dalam dunia ekonomi pada hari ini.
“Kita boleh martabatkan Bahasa Inggeris, dia bukan Zero Sum Game, Bahasa Inggeris itu bahasa utama, ilmu dan perdagangan antarabangsa.
“Bahasa Cina yang dulunya bahasa suku kaum Cina Malaysia sekarang bahasa ekonomi Asia yang penting,” katanya lagi. – MalaysiaGazette