KOTA TINGGI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin menyokong usaha Yayasan Bank Rakyat (YBR) meningkatkan ekonomi negara melalui program keusahawanan.
Beliau berkata, Program Bijak Usahawan Muda yang bekerjasama Persatuan Belia Bintang Selatan Johor Bharu itu dapat mengukuhkan pengetahuan asas keusahawanan dalam kalangan usahawan.
Katanya, seramai 160 usahawan muda sekitar Johor menyertai program itu yang bermula semalam, dengan bertujuan mendalami ilmu perniagaan di kalangan usahawan menerusi modul diterapkan.
“Melalui program ini juga peserta turut didedahkan mengenai pengurusan perniagaan melalui tiga modul bermula daripada peringkat asas, pengurusan pentadbiran serta perakaunan sehingga ke peringkat pasaran dalam talian dan penjenamaan.
“Sebagai wakil rakyat kawasan ini dan Johor khususnya, sudah tentu saya menyokong dan mengalu-alukan usaha YBR dalam meningkatkan ekonomi negara melalui keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutup program itu di Dewan Seminar 49 Space Event, Kota Tinggi, semalam.
Turut hadir, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Tinggi, Ruhisyam Ibrahim; dan Pengerusi Persatuan Belia Bintang Selatan Johor Bahru, Cik Nor Akmal Muhammad.
Menurut Aznan, galakan dan dorongan perlu diberikan kepada golongan usahawan dalam merancang strategi pemasaran yang lebih baik serta memastikan perniagaan mereka mempunyai matlamat yang jelas.
Ia juga, katanya, secara tidak langsung membantu meningkatkan ekonomi serta isi pendapatan rumah.
Kata beliau, usaha itu adalah langkah terbaik khususnya membantu anak muda untuk terus bergiat aktif dalam bidang keusahawanan sebagai kerjaya utama dalam mendepani masa depan yang lebih baik.
“Rata-rata anak muda mempunyai hasil idea dan produk tersendiri untuk diperkenalkan dan dipasarkan, namun tiada bimbingan serta asas pengetahuan yang mencukupi.
“Ini kerana, pengalaman sahaja tidak cukup dalam membantu seseorang usahawan untuk membangun dan berkembang ke peringkat seterusnya tanpa pengetahuan asas serta sokongan daripada individu atau entiti yang mahir dalam bidang perniagaan.
“Justeru, program seperti ini dapat memberi momentum yang besar kepada usaha untuk melahirkan usahawan muda yang berdaya saing dan berdisiplin dalam memperkasakan pembangunan ekonomi masyarakat serta negara,” katanya. – MalaysiaGazette