Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid menunjukkan bungkusan air ketum beserta daun yang berjaya dirampas oleh pasukan Narkotik dalam satu aktiviti pemprosesan dan penjualan air ketum dengan menahan 2 lelaki warga tempatan ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 18 JULAI 2022.

PETALING JAYA – Polis menahan dua lelaki warganegara tempatan yang dipercayai  terlibat dalam aktiviti pemprosesan dan penjualan air ketum di kawasan Kelana Jaya pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mereka ditahan dalam serbuan selepas menerima maklumat mengenai kegiatan penjualan air ketum.

“Hasil serbuan pertama, seorang lelaki berumur 51 tahun ditahan di sebuah flat Kelana Jaya dan satu bekas plastik berisi cecair disyaki air ketum seberat 1, 500 miligram bernilai RM20 ditemui di dapur suspek.

“Berpandukan maklumat daripada suspek, seorang lagi lelaki berumur 47 tahun di sebuah flat di kawasan yang sama” katanya dalam sidang media di IPD Petaling Jaya hari ini.

Dalam serbuan di rumah suspek kedua, polis menjumpai satu bekas plastik berisi cecair disyaki air ketum juga dianggarkan seberat 1,500 miligram bernilai RM20.

Menurut Mohamad Fakhruddin, susulan siasatan ke atas suspek pertama dan kedua,  Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Petaling Jaya telah membuat serbuan ketiga di sebuah flat tingkat 17 di kawasan sama dan menjumpai 100 bungkusan plastik berisi daun ketum dengan setiap bungkusan dianggarkan seberat satu kilogram.

“Dalam bilik yang sama juga pihak polis menjumpai empat bungkusan plastik hitam berisi daun ketum dengan setiap bungkusan dianggarkan seberat 10 Kilogram” jelasnya.

Sebanyak 380 paket lutsinar berisi ketum dengan anggaran isipadu 1000ml setiap bungkusan dalam empat tong ais berbeza ditemui di bahagian dapur rumah.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas alatan memproses air ketum.

Beliau berkata, bekalan daun ketum yang dirampas itu boleh digunakan lebih kurang sehingga 2,000 individu.

Sindiket memproses dan menjual air ketum ini menurut Mohd Fakhrudin giat dilakukan hampir empat bulan untuk pengguna di sekitar Lembah Subang.

Nilai keseluruhan rampasan dadah ini dianggarkan bernilai lebih kurang RM10,140.

Kedua-dua suspek telah ditahan reman selama empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 (Pindaan 1980) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama.

Jika disabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali. -MalaysiaGazette