MELAKA – Tindakan sebuah kedai runcit menjual minyak masak bersubsidi pada harga ‘dua darjat’ akhirnya membawa padah apabila diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka di sini hari ini.
Dalam serbuan jam 11 itu, peniaga di Tanjung Minyak itu didapati menjual minyak masak paket satu kilogram pada harga RM2.50 untuk peniaga manakala RM3.50 untuk pengguna, 40 peratus lebih tinggi daripada harga ditetapkan iaitu RM2.50.
Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar berkata, serbuan #kamiterjah itu dilakukan sepasukan enam pegawai dan anggotanya yang melakukan penyamaran hasil aduan daripada orang ramai.
“Hasil serbuan terhadap 14 premis sekitar negeri ini, sebuah kedai runcit di Tanjung Minyak didapati menjual minyak masak bersubsidi itu pada harga RM3.50 untuk pengguna isi rumah dan RM2.50 untuk peniaga.
“Semakan awal mendapati, peruncit ini turut dikesan dengan memberikan keutamaan kepada para peniaga di sekitar kawasan dan dipercayai telah menjual tiga kotak bersamaan 51 paket minyak masak berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini petang ini.
Tambahnya, siasatan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang mana jika disabitkan kesalahan, boleh didenda sehingga RM1,000,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi individu manakala sehingga RM 2,000,000 bagi pertubuhan atau perbadanan di bawah Seksyen 22 akta sama.
“Operasi sebegini akan diteruskan setiap masa bagi memastikan semua pengguna isi rumah mampu mendapatkan minyak masak bersubsidi.
“Pemborong dan peruncit diingatkan sentiasa mematuhi arahan pengawal bekalan yang telah dikeluarkan atau berdepan tindakan tegas sekiranya gagal mematuhi peraturan yang dikuatkuasakan,” katanya.
Tambahnya, pengguna boleh menyalurkan sebarang aduan berkaitan kepada kementerian ini melalui talian am 06-234 5822, emel [email protected] atau Whatsapp ke talian 019-279 4317. – MalaysiaGazette.