Pemangku Raja Pahang dan Mohd Johari pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara Dan Pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara 2022 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur di Hotel Zenith malam tadi.

KUANTAN – Kadar pengangguran di Pahang menurun dalam tempoh enam bulan lepas berdasarkan data yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada Mei lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan Dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain berkata, mengikut data tersebut, kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 ke 30 tahun menunjukkan trend penurunan iaitu berkurangan kepada 2.4 peratus pada Mei lalu berbanding 3.3 peratus pada Disember 2021.

“Secara tidak langsung, ianya menunjukkan tahap kesediaan anak muda dalam memberi sokongan ke arah peningkatan ekonomi negeri ini melalui program bersasar yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri adalah amat signifikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyembahkan ucapan Majlis Sambutan Hari Belia Negara Dan Pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara 2022 Peringkat Negeri Pahang di sini malam tadi.

Majlis perasimian penutup disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut berangkat mengiringi baginda ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker.

Sementara itu, bagi Anugerah Belia Perdana Negeri Pahang, sebanyak empat percalonan kategori pertubuhan belia pada tahun ini, 12 pencalonan individu lelaki dan sembilan calon kategori individu wanita.

Setiap pemenang kategori yang dipertandingkan telah melalui fasa penilaian oleh panel penilai yang mempunyai kepakaran masing-masing merangkumi aspek kepimpinan, keusahawanan, keaktifan, tahap penglibatan sehingga peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette