Gambar hiasan

MELBOURNE – Harga minyak jatuh AS$1 pada awal dagangan di Asia pada hari ini, mengurangkan keuntungan hari Jumaat lalu, apabila perhatian kembali kepada peningkatan kes Covid-19 di China dan prospek sekatan pergerakan semula sekali lagi yang akan mengurangkan permintaan bahan api.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS untuk penghantaran Ogos turun AS$1.54 atau 1.6%, kepada AS$96.05 setong pada 0055 GMT, selepas meningkat 1.9% pada hari Jumaat.

Manakala niaga hadapan minyak mentah Brent untuk penghantaran September jatuh AS$1.47 atau 1.5%, kepada AS$99.69 setong, mengurangkan kenaikan 2.1% daripada Jumaat.

China, merupakan pengguna minyak kedua terbesar di dunia, pada Ahad melaporkan 691 kes Covid-19 baharu untuk hari Sabtu, meningkat daripada 547 hari sebelumnya, dengan kes penularan tempatan paling tinggi sejak 23 Mei.

“Dagangan minyak jatuh apabila pasaran mencerna impak permintaan susulan peningkatan kes Covid-19 baharu di China dan pasaran juga berhati-hati menunggu risiko peristiwa jika aliran gas Nord Stream 1 dari Rusia ke Eropah akan disambung semula akhir minggu ini,” kata Stephen Innes, rakan kongsi pengurusan di SPI Asset Management.

Saluran paip Nord Stream 1, sistem terbesar yang membawa gas asli Rusia ke Jerman, memulakan penyelenggaraan tahunan pada 11 Julai selepas bertahan selama 10 hari.

Kerajaan, pasaran dan syarikat bimbang penutupan mungkin dilanjutkan kerana perang di Ukraine.

Kehilangan gas itu akan melanda Jerman, ekonomi keempat terbesar di dunia, sekali gus meningkatkan ancaman kemelesetan.

Seperti yang dijangkakan, lawatan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden ke Arab Saudi gagal membuahkan sebarang ikrar daripada pengeluar utama OPEC untuk meningkatkan bekalan minyak.

Jangkaan tiada minyak tambahan membantu menaikkan harga pada Jumaat lalu menjelang rundingan Biden dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman.

Biden mahu pengeluar minyak Teluk meningkatkan pengeluaran untuk membantu ‘menjinakkan harga minyak’ dan menurunkan inflasi. – Reuters