Petugas ladang membuat kerja-kerja mengambil buah sawit di Ladang FGV Moakil 07, Segamat, Johor. Foto FAREEZ FADZIL, 25 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal kukuh melebihi RM4,600 satu tan pada September, disokong asas bekalan yang semakin ketat serta gangguan geopolitik yang menjejaskan aliran perdagangan minyak sayuran global.

Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, pengeluaran minyak sawit Malaysia meningkat 9.4 peratus bulan ke bulan kepada 1.79 juta tan pada Julai 2026, meningkat sebanyak 154,000 tan.

Bagaimanapun, pengeluaran pada Julai masih lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus mencatatkan penurunan tahun ke tahun untuk bulan kelima berturut-turut sejak Mac 2026.

Prestasi eksport turut bertambah baik pada Julai apabila penghantaran meningkat 14.5 peratus bulan ke bulan kepada 1.39 juta tan.

Katanya, peningkatan itu didorong terutamanya oleh pembelian lebih tinggi dari India menjelang perayaan Diwali, selain permintaan berterusan yang kukuh dari rantau Afrika Sub-Sahara.

Sementara itu, stok minyak sawit Malaysia terus meningkat pada Julai kepada 2.62 juta tan.

Bagaimanapun, MPOC berkata, peningkatan stok berkenaan bukan sesuatu yang membimbangkan kerana permintaan biodiesel yang kukuh serta tindakan Indonesia mempercepatkan eksport telah menyebabkan stok minyak sawit negara itu kekal rendah.

Tambahnya, kenaikan harga susulan pengumuman data penawaran dan permintaan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada 10 Ogos lalu turut mengukuhkan pandangan bahawa paras stok minyak sawit ketika ini tidak berlebihan, walaupun bekalan keseluruhan masih mencukupi buat masa ini.

Pasaran minyak sayuran global terus disokong permintaan bahan api bio dan ketidaktentuan geopolitik pada Ogos, dengan minyak sawit mencatatkan peningkatan terbesar.

Harga CPO Malaysia meningkat 3.9 peratus sepanjang bulan berkenaan berbanding kenaikan 2.7 peratus bagi minyak bunga matahari dan 1.1 peratus bagi minyak kacang soya di Argentina tetapi harga minyak rapeseed di Eropah susut sedikit sebanyak 0.8 peratus.

Menurut MPOC, pengeluaran minyak sawit Malaysia lazimnya mencapai kemuncak pada September atau Oktober sebelum menurun pada suku keempat.

Pertumbuhan pengeluaran dalam tempoh tujuh bulan pertama 2026 sebahagian besarnya disokong peningkatan kadar perahan minyak (OER) daripada buah tandan segar (BTS).

OER Malaysia dari Januari hingga Mei 2026 berada jauh di atas purata 10 tahun, disokong keadaan hujan yang baik enam bulan sebelumnya.

Namun, OER jatuh di bawah purata 10 tahun pada Jun dan Julai 2026 serta dijangka kekal di bawah purata bagi baki tahun ini.

“Apabila pengeluaran memasuki trend penurunan bermusim pada suku keempat dan OER susut daripada paras tinggi yang dicatatkan antara Januari hingga Mei, pengeluaran minyak sawit dijangka menurun tahun ke tahun pada suku keempat 2026, sekali gus mengetatkan bekalan menjelang akhir tahun,” menurut MPOC.

Dalam masa sama, gangguan geopolitik yang berterusan turut mengubah aliran perdagangan minyak sayuran global.

Katanya, penghantaran melalui Selat Bab al-Mandeb dan Laut Merah terganggu, manakala trafik melalui Selat Hormuz menurun susulan tamatnya gencatan senjata selama 60 hari antara Amerika Syarikat dan Iran pada 17 Ogos lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here