GAMBAR FAIL. Siti Nuramira Abdullah dibawa anggota polis untuk didakwa atas pertuduhan menghina Islam di kelab komedi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 13 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Pasangan kekasih mencetuskan kontroversi menghina agama Islam dijangka akan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas wang ikat jamin RM40,000 dibayar hari ini.

Siti Nuramira Abdullah, 26, dan V. Alexander Navin, 38, masing-masing kini berada di Penjara Beranang serta Kuala Kubu Baru.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Siti Nuramira, R. Sivaraj ketika dihubungi hari ini.

“Wang jaminan dibayar hari ini,” katanya ringkas.

Difahamkan, peguam kedua-dua tertuduh akan hadir bersama dengan penjamin di Mahkamah Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, bagi urusan ikat jamin.

Pada 13 Julai lalu, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni dalam kalangan umat Islam.

Sementara itu di Mahkamah Seysen Petaling Jaya, V. Alexander Navin turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video jelik di Youtube pada bulan lalu.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan masing- masing seorang penjamin.- MalaysiaGazette