Amir Hassan Jailani ketika tiba di Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi ini.

JOHOR BAHRU – Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kemalangan 11 buah kenderaan di Tambak Johor 7 Julai lalu.

Amir Hassan Jailani 34 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan majistret Zuhainie Zull Kafli.

Tertuduh didakwa memandu secara melulu hingga menyebabkan kemalangan 11 buah kenderaan di Jalan Tambak Johor, Johor Bahru kira-kira jam 9.25 pagi 7 Julai lalu.

Dia dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak lebih RM15,000 jika sabit kesalahan.

Sementara itu di mahkamah sama syarikat Level Hill Auto Parts Sdn Bhd menerusi wakilnya, Yap Shee Min, 34 turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melanggar syarat lesen pengendali lori kerana membawa lebih muatan yang dibenarkan.

Lori yang dipandu Amir Hasan itu didapati membawa muatan seberat 91,240 kilogram berbanding 41,000 kilogram yang dibenarkan.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 57(1)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos manakala tertuduh dan syarikat tersebut diwakili peguam Bustamam Menon Abdul Hamid Menon.

Mahkamah membenarkan Amir Hasan dan Shee Min, masing-masing diikat jamin RM4,000 dan RM3,000 dengan setiap tertuduh diwakili seorang penjamin dan menetapkan 5 September ini bagi sebutan semua  kedua-dua kes berkenaan.

Kemalangan jam 9.25 pagi itu berlaku apabila lori membawa muatan habuk batu itu dipercayai hilang kawalan kerana mengalami kerosakan teknikal di bahagian brek.

Video kemalangan melibat lori serta sembilan buah kereta termasuk kereta bernombor pendaftaran asing dan masing-masing satu van dan bas itu turut tular di laman sosial.

Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dalam kemalangan itu dan hasil ujian air kencing terhadap pemandu lori itu pula negatif dadah.- MalaysiaGazette