Sebuah premis di Port Dickson yang disyaki menyimpan minyak masak tanpa permit diserbu dan dirampas KPDNHEP 15 Julai lalu. Ihsan foto: KPDNHEP Putrajaya

KUALA LUMPUR – Sebuah premis perniagaan yang dikesan menyimpan barang kawalan berjadual, iaitu minyak masak, melebihi had yang dibenarkan bagi tujuan perdagangan atau perniagaan tanpa permit yang sah diserbu penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada Jumaat lalu

Pengarah Penguatkuasanya, Azman Adam berkata, serbuan itu dilaksanakan pada 15 Julai lalu oleh sepasukan anggota dari Putrajaya bermula pada jam 6 petang yang bertindak atas maklumat daripada orang awam.

Katanya, semasa pemeriksaan dilakukan, seorang lelaki berumur lingkungan 60-an yang mengaku sebagai pemilik premis terbabit memaklumkan bahawa perniagaan yang dijalankan adalah menjual guni dan memproses makanan.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut mendapati premis itu gagal mengemukakan sebarang dokumen permit kebenaran menyimpan barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Pasukan serbuan telah melakukan pemeriksaan di premis itu sebelum berjaya melakukan rampasan sebanyak 44 kotak minyak masak botol 5 kg dengan jumlah keseluruhan sebanyak 176 botol bersama beberapa dokumen perniagaan lain dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM7,920,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, berikutan rampasan itu, pihaknya telah membuka kertas siasatan dan siasatan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti daripada mana sumber bekalan minyak masak ini diperolehi.

“Malah kita juga akan melakukan siasatan tujuan sebenar minyak masak ini disimpan dalam kuantiti melebihi daripada had yang dibenarkan tanpa permit.

“Pada masa yang sama, kementerian ingin memberikan peringatan kepada semua peniaga yang menggunakan dan menyimpan barang kawalan berjadual terutamanya minyak masak bagi kegunaan perniagaan seperti memproses makanan dan sebagainya agar mendapatkan permit kebenaran menyimpan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas oleh KPDNHEP, ” ujar beliau.

Menurut Azman, Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 telah mewajibkan mana-mana pihak bagi tujuan perdagangan yang membeli dan menyimpan minyak masak melebihi 12 kilogram perlu memiliki permit kebenaran daripada KPDNHEP.

Justeru katanya, melalui penguatkuasaan permit itu, pemegang permit hanya boleh mendapatkan bekalan minyak masak tidak bersubsidi daripada pemborong berlesen yang sah sahaja.

“Kita ingin memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang berurusan dengan barang kawalan berjadual khususnya minyak masak agar mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan yang membabitkan syarikat, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” ujarnya.

Azman menegaskan, siasatan juga akan dilakukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak masak.

Kesalahan yang disabitkan di bawah Akta 613 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi.

Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat boleh mengemukakan aduan kepada KPDNHEP melalui saluran aduan WhatsApp di talian 019-279 4317/019-848 8000; Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my; Call Centre 1-800-886-8004; Emel [email protected] dan Ez ADU KPDNHEP. – MalaysiaGazette